KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan usahawan, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman atau lebih dikenali sebagai Prince Syed menafikan dakwaan kononnya dia memaksa isterinya menjalani pembedahan bariatrik demi tujuan perniagaan.
Menurut Prince Syed, isterinya, Fatin Syazwani Ishak, 27, membuat keputusan menjalani pembedahan tersebut secara sukarela selepas tertekan akibat menjadi mangsa penghinaan bentuk fizikal (body shaming).
“Saya tak paksa isteri buat pembedahan. Dia sendiri yang mahu lakukannya kerana terkesan dengan kecaman orang. Dia bukan ‘tikus makmal’ saya,” katanya ketika dihubungi.
Syed, 33, berkata beliau menemani isterinya menjalani prosedur itu di sebuah pusat perubatan swasta di Ipoh, Perak, pada 8 Oktober lalu dan tidak memaklumkan kepada sesiapa bagi menghormati permintaan isterinya, bukan kerana mahu melarikan diri seperti didakwa.
“Sebelum ini isteri pernah luahkan hasrat nak buat (pembedahan bariatrik). Saya tanya dia sudah fikir masak-masak atau belum sebab saya tak sokong, tapi saya juga tak halang.
“Dia nekad, jadi saya akur dan menemaninya dari awal sampai selesai,” katanya.
Katanya, Fatin Syazwani kini berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke hospital empat hari lalu akibat dehidrasi dan menjalani satu sesi dialisis.
“Bacaan kesihatan semua baik, cuma tunggu masa untuk dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial sebuah video mendakwa ibu mentua Prince Syed mencari menantunya selepas dikatakan ‘melarikan diri’ dan menghalang cucu daripada bertemu keluarga.
Wanita itu turut menuduh Prince Syed memaksa isterinya menjalani pembedahan bariatrik bagi mempromosi produk pelangsing badan.
Bagaimanapun, Prince Syed menafikan semua tuduhan tersebut dan menegaskan dia tidak pernah memisahkan isterinya daripada keluarga mentua.
“Setiap kali ke utara, saya dan isteri akan singgah ke rumah mentua. Rumah dalam video tular itu bukan rumah kami, tetapi milik kakak,” jelasnya.
Sementara itu, Fatin Syazwani memberitahu keputusan menjalani pembedahan berkenaan dibuat atas keinginannya sendiri tanpa paksaan suami.
“Syed tak bagi buat, tapi dia tahu tentang perkara ini. Saya sendiri yang minta dia kumpul duit untuk tanggung kos pembedahan.
Tolong jangan salahkan Syed,” katanya dalam satu video.
Dia turut menafikan dakwaan rumah tangganya bergolak dan meluahkan rasa kesal apabila isu pembedahan tersebut dikaitkan dengan masalah peribadi mereka.
