KUALA LUMPUR: Kementerian Luar dalam peringkat akhir memuktamadkan usaha untuk membantu rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka di Iran kembali ke tanah air susulan perang yang sedang berlaku antara Israel dan Iran.
Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, kementerian itu memaklumkan individu yang telah bersetuju untuk menyertai proses evakuasi dijangka berlepas dari Teheran hari ini.
Kementerian itu juga bekerjasama rapat dengan Perwakilan Malaysia yang terbabit bagi memastikan perjalanan pulang rakyat Malaysia dan keluarga mereka ke tanah air dilaksanakan dengan segera, lancar dan selamat.
Pada Rabu, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata. Malaysia akan memindahkan rakyatnya dari Iran pada Jumaat berikutan peningkatan risiko keselamatan susulan perang yang semakin memuncak antara Israel dan Iran.
