KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM), hasil bayaran kos mahkamah yang diterimanya daripada penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo).
Razarudin berkata, sumbangan itu bertujuan membantu menampung kos operasi pusat berkenaan yang memerlukan perbelanjaan bulanan tinggi, termasuk perkhidmatan 16 tenaga pengajar bagi sesi pagi dan petang.
“Pusat autisme ini tidak mendapat keuntungan. Setiap bulan, kita terpaksa mengeluarkan kos besar untuk menampung operasi,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada Pusat Autisme PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Razarudin sebelum ini turut menyumbangkan RM25,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis melalui dua sumbangan berasingan.
Pada Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri menjalani hukuman penjara 30 hari selepas didapati bersalah menghina mahkamah, selain mengarahkan beliau membayar kos RM30,000 kepada Razarudin susulan permohonan komital yang difailkan bekas KPN itu.
Menurut Razarudin, tindakannya menyaman penulis blog itu bukan berkaitan kepentingan peribadi, tetapi bagi mempertahankan kedudukan institusi Ketua Polis Negara yang tidak wajar difitnah.
“Saya saman bukan sebab duit. Ini kerana kedudukan KPN tidak wajar difitnah. KPN adalah institusi yang mengetuai seluruh anggota.
“Kes itu dijangka selesai pada 2026 mengikut perkembangan prosiding semasa,” katanya.
Sementara itu, Razarudin menggesa supaya lebih banyak pihak membantu memberikan sumbangan kepada Pusat Autisme PDRM yang ditubuhkan lima tahun lalu.
