
KUALA LUMPUR: Malaysia dianggarkan kerugian RM2 bilion setahun akibat isu kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang disebabkan oleh masalah kebocoran dan kecurian air.
Sehubungan itu, kerajaan mengambi pendekatan baharu dengan menarik sektor swasta terbabit menyertai projek menggantikan paip air usang di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan masih melihat model perniagaan bersesuaian yang boleh menarik minat sektor swasta untuk melabur.

Beliau berkata, penggantian paip usang memang sudah dibuat secara berperingkat dan berterusan dengan peruntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebanyak RM2.5 bilion.
“Keseluruhan paip itu (untuk digantikan) panjang. Sebab itu saya melihat pendekatan baharu membabitkan perkongsian awam swasta, ini boleh mengurngkan masalah yang timbul jika dapat dilaksanakan.
“Ada sektor swasta yang berminat dan ia dapat menyegerakan penggantian paip serta sebagainya tetapi kena tengok model perniagaan yang boleh menarik minat sektor swasta untuk melabur,” katanya selepas merasmikan Persidangan Water Loss Asia 2024, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, tahun ini kerajaan menyasarkan pengurangan NRW di seluruh negara adalah 34.6 peratus.
“Jika dapat dilaksanakan sasaran kita menjelang 2030 ialah 28.8 peratus pengurangan NRW.
“Sekarang berjalan berperingkat ikut kemampuan yang ada,” katanya.
Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) akan dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun menerusi empat fasa bermula di bawah RMK13.
Transformasi sektor air antara agenda utama PETRA selari visi Malaysia Madani yang menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan dan keterjaminan.
Pelan transformasi itu juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 6 iaitu memastikan akses kepada air bersih dan sanitasi untuk semua.