Si ‘jari gemuk’ santuni anak yatim
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR 24 Dis. – “Misi aku cuma satu, hendak bagi diorang (mereka) senyum.”
Demikian jelas Nadzarul Amir Zainal Azam, 40, pengasas sebuah kumpulan sukarelawan, Jari Moxx, mengenai misinya menyantuni anak-anak yatim di rumah-rumah kebajikan.
Menurutnya, Jari Moxx yang digerakkan sejak Januari lalu merupakan platform buat ahli keluarga dan rakan-rakannya untuk menyumbang kepada anak-anak yatim terbabit.
Selain pakaian dan kelengkapan sekolah (khususnya dalam program Back To School), Jari Moxx turut memberikan bantuan berupa barangan keperluan harian, tepung, gula serta berus gigi.
Melalui platform di Instragram (Jari Moxx), Nadzarul Amir bercerita, program Jari Moxx menggunakan dana ‘poket sendiri’, tiada funder (pemberi dana).
“Secara peribadi, aku agak skeptikal dapat menyantuni 12 buah rumah anak yatim dalam tempoh satu tahun melalui program Jari Moxx. Apatah lagi bila tiada pendapatan tetap selepas terima skim VSS (pemberhentian kerja secara sukarela), penghujung tahun lepas.
“Ya, program Jari Moxx aku guna dana sendiri, tak ada funder. aku sangat bersyukur sebab ada family, cousins, aunties dan sahabat-sahabat yang sentiasa support program ini,” jelasnya.
Baru-baru ini, Ceritera sempat mengikuti Nadzarul Amir yang mesra disapa Amir menyantuni anak-anak yatim di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Ummi Selangor (PKAAYUS) melalui program Back To School.
Rumah kebajikan ini menempatkan 34 orang anak yatim di dua buah rumah di Taman Sungai Jelok, Kajang, Selangor.
Program Back To School menyediakan anak-anak yatim terbabit dengan kelengkapan alat tulis persekolahan.
Pengurus PKAAYUS, Halimah Aman, 65, berkata, rumah anak-anak yatim itu mula dibuka sejak 2014 iaitu sebuah rumah di Nombor 13, Jalan 7, Taman Sungai Jelok yang diwakafkan oleh seorang individu.
Kediaman tersebut menempatkan anak-anak perempuan manakala sebuah lagi rumah yang disewa di Nombor 20, Jalan 1, di taman perumahan yang sama didiami anak-anak lelaki.
“Sudah tentu kami memerlukan bantuan dana khususnya melibatkan perbelanjaan bas sekolah, bantuan persekolahan, tuisyen selain bil-bil elektrik dan air,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan melalui Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Ummi Selangor (8881008069204 – nombor akaun Ambank Islamic).
‘JARIKU GEMUK’ INSPIRASI JARI MOXX
Berbalik kepada Amir, ketika ditanya maksud di sebalik Jari Moxx, beliau memberitahu, perkara itu berasal daripada keadaan jarinya yang ‘besar dan gemuk’.
“So aku gunalah apa yang orang lain mengata tentang aku (jari), maka wujudlah Jari Moxx.
“Tahun depan tak tahu lagi sama ada Jari Moxx dapat diteruskan atau tidak kerana memikirkan mengenai dana. Jika ada mana-mana pihak yang hendak menyumbang, aku amat mengalu-alukannya,” katanya.
Bagi Amir, dapat menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim membuatkan hatinya gembira dan tenang.
Layari akaun Instagram Jari Moxx untuk sumbangan dan berikan sokongan demi kesejahteraan anak-anak yang memerlukan perhatian semua.