Saya bukan rakan kongsi perniagaan Syed Mokhtar – Johari
KUALA LUMPUR 23 Dis. – “Syed Mokhtar (Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary) adalah kawan saya, tidak lebih daripada itu. Kami bukan rakan kongsi perniagaan (tetapi) kadang-kadang saya menasihatinya mengenai urusan perniagaan.”
Demikian ditegaskan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengenai cakap-cakap yang berlegar berkaitan ‘kedudukannya’ dalam kumpulan syarikat milik taikun perniagaan itu.
Malah Johari menjelaskan telah mengenali Syed Mokhtar sejak sekian lama, sebelum beliau menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa (penggal 2013-2018).
“Kami kawan lama. Saya pemain korporat (dan) saya sangat baik dalam penstrukturan semula syarikat. Begitu juga, Tan Sri (Syed Mokhtar) menasihati saya mengenai isu-isu yang berkaitan dengan kemahirannya.
“Beliau seorang ahli perniagaan yang cukup berpengalaman,” katanya seperti dipetik melalui The Edge Markets.
Pertengahan tahun ini, sektor pasaran heboh membicarakan mengenai kedudukan Johari sebagai rakan perniagaan kepada Syed Mokhtar dan mempunyai kepentingan ekuiti dalam Tradewinds Corp. Bhd. serta kumpulan syarikatnya.
Namun sebagai pemain korporat, Johari merupakan pemegang saham CI Holdings Bhd. dengan kepentingan 32.72 peratus serta memiliki kepentingan ekuiti sebanyak 32 peratus dalam KUB Malaysia Bhd. yang diperoleh dari Anchorscape Sdn. Bhd., dan dikatakan sebagai syarikat berkaitan UMNO.
Spekulasi mengenai kedua-dua mereka semakin meningkat apabila pada Ogos lalu, Johari dikatakan berusaha untuk membeli kepentingan strategik dalam FGV Holdings Bhd., MSM Malaysia Holdings Bhd. – syarikat yang turut diintai Syed Mokhtar.
Melalui Tradewinds, Syed Mokhtar menguasai Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), entiti lebih kecil berbanding MSM tetapi masih pesaing utama dalam bisnes gula.
Terdahulu, Johari menggariskan sinergi antara syarikat-syarikatnya dan Syed Mokhtar (dalam kes ini, Tradewinds Corp dan entiti gabungannya), yang menjelaskan mengapa kedua-dua ahli perniagaan itu sering bekerjasama.
“Tradewinds Corp. (melalui Tradewinds Plantation Bhd.) memiliki 150,000 hektar ladang kelapa sawit. Syarikat saya (CI Holdings) mengeksport 3,000 kontena minyak masak ke 107 negara setiap bulan.
“Oleh yang demikian, terdapat sinergi antara perniagaan kami. Itu sahaja. Saya bukan pemegang saham dalam Tradewinds,” katanya.
Tidak terhenti di situ sahaja, satu lagi syarikat yang dikaitkan dengan Johari adalah Media Prima (Media Prima Bhd.).
Aurora Mulia Sdn. Bhd. (syarikat milik Syed Mokhtar) merupakan pemegang saham terbesar dalam Media Prima dengan hampir 32 peratus pegangan saham.
Johari didakwa turut berada di dalam Media Prima.
“Saya hanya penasihat kepada Tan Sri (Syed Mokhtar) di Media Prima, tidak lebih daripada itu. Dan saya menasihati kerana saya tahu bagaimana untuk menyusun semula syarikat,” katanya menafikan penglibatannya dalam syarikat itu.
Dalam menjelaskan persahabatannya dengan Syed Mokhtar, Johari berkata: “Saya mengagumi beliau. Beliau adalah salah seorang daripada personaliti korporat yang bertahan dalam masa yang sukar. Beliau telah melalui (krisis kewangan) 1998 dan 2008.”