Nasional

Skandal Penipuan Kuota Pekerja Asing : Kementerian Sumber Manusia buat laporan Polis

Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mengambil langkah tegas dengan melaporkan seorang majikan ke pihak polis yang terlibat dalam penipuan kuota pekerja warga asing bulan November lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menegaskan bahawa siasatan yang dilakukan tidak akan terhad kepada penipuan semata, tetapi juga akan melibatkan aspek jenayah komersial. Polis akan memastikan tindakkan yang sewajarnya bagi pelbagai kesalahan yang dilakukan.

“Kementerian telah mengemukakan laporan polis untuk meminta siasatan terhadap pemegang ID (pemohon kuota). Sejauh ini, satu majikan telah dikenalpasti, dan kami akan memberi kuasa kepada pihak polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujar Sim.

Walaupun Sim enggan mendedahkan identiti majikan yang terlibat, beliau mengakui kemungkinan adanya keterlibatan kakitangan Kementerian dalam siasatan.

“Saya meyakini siasatan ini akan melibatkan proses dalaman juga,” tambahnya.

Sim menegaskan bahawa kementerian akan menjalankan siasatan sendiri mengenai skandal tersebut. Sebuah Portal sebelum ini telah mendedahkan sindiket yang mengeksploitasi sistem kuota pekerja warga asing yang diperkenalkan oleh kerajaan, yang membawa masuk ribuan pekerja ke dalam sektor perkhidmatan.

Syarikat terbabit memperoleh keuntungan melalui penjualan kuota kepada syarikat atau ejen lain, atau dengan menjual atau menyewakan pekerja. Penipuan ini telah menyebabkan beratus-ratus pekerja asing terjebak dalam kesempitan, dan sekurang-kurangnya dua pendatang yang dibawa masuk oleh sindiket tersebut diketahui telah meninggal dunia.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengesahkan bahawa mereka sedang giat menjalankan siasatan terhadap dakwaan dalang di sebalik penipuan tersebut. Meskipun JSJK tidak menemui bukti penipuan terhadap pekerja, siasatan terhadap laporan polis yang diajukan oleh pekerja yang mendakwa ditipu oleh syarikat tersebut telah ditutup.

Steven Sim memberikan keterangan ini dalam sidang media bersama Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, selepas mesyuarat jawatankuasa bersama pertama mereka mengenai pengurusan pekerja asing untuk tahun 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *