Straits Inter Logistics urus fasiliti Terminal Labuan Liberty


PENGARAH Pihak Berkuasa Pelabuhan Labuan, Kapten Mohamad Halim Ahmed (dari kiri); Pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Labuhan, Chan Foong Hin; Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Pelabuhan Labuan, Zulkurnain Bin Ayub; Pengarah Straits Inter Logistics, Mohd. Bakri Mohd. Zinin; Pengerusi Straits Inter Logistics, Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Sultan Mahmud dan Pengarah Urusan Straits Inter Logistics, Datuk Seri Ho Kam Choy bergambar ketika majlis menandatangani perjanjian di Petaling Jaya, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 4 Mac – Straits Inter Logistics Berhad (Straits Inter Logistics), syarikat pengurusan perkhidmatan pelabuhan yang disenaraikan di Bursa Malaysia, menandatangani perjanjian dengan Lembaga Pelabuhan Labuan bagi menjalankan kontrak operasi dan pengurusan fasiliti di Terminal Labuan Liberty.

Kontrak operasi tersebut telah dianugerahkan pada Januari lalu dan berakhir untuk tempoh enam tahun dengan jangkaan bermula pada 1 April ini.

Pelabuhan Labuan terletak di Malaysia Timur dan berkepanjangan 355.6 meter dengan kedalaman antara 4.6 meter dan 10 meter, boleh menampung berat sehingga 16,000 tan.

Pelabuhan Labuan ketika ini menerima kapal yang membawa masuk kontena, bahan cecair kering dan cecair, kargo am dan juga produk minyak dan gas.

Kontrak perkhidmatan pengurusan pelabuhan akan dilaksanakan oleh Megah Port Management Sdn. Bhd., di mana Straits Inter Logistics menguasai 51 peratus menerusi langganan saham yang dicadangkan manakala 49 peratus dikuasai oleh LPM Holdings Sdn. Bhd. (LPM Holdings).

Pengarah Kumpulan Straits Inter Logistics, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin dalam pemfailan ke Bursa Malaysia memberitahu, Straits Port Management Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Straits Inter Logistics, telah memeterai perjanjian dengan Lembaga Pelabuhan Labuan untuk operasi dan kemudahan Terminal Labuan Liberty di had Pelabuhan Labuan.

Jelasnya, ini menyaksikan pihak berkuasa telah melantik Straits Inter Logistics untuk menjalankan perkhidmatan pengurusan pelabuhan di Pelabuhan Labuan tertakluk kepada terma dan syarat perjanjian.

“Kontrak baru yang dianugerahkan oleh Lembaga Pelabuhan Labuan adalah peluang untuk syarikat meneroka ke dalam perkhidmatan pengurusan pelabuhan yang boleh melengkapkan perniagaan sedia ada seperti perdagangan minyak dan perkhidmatan bunkering.

“Perkhidmatan pengurusan pelabuhan akan melibatkan penyediaan perkhidmatan yang termasuk tetapi tidak terhad kepada, operasi kontena, kargo am (gudang/stesen barang pengangkutan/kawasan terbuka), perkhidmatan menarik pelabuhan, bunkering, kapal pengangkut kapal, kapal konvensional seperti pengangkut pukal, kapal kargo am, kapal tangki, pengangkut kenderaan, operator kapal nelayan.,” katanya.

Mohd. Bakri yang juga Pengarah Urusan Megah Port Management Sdn. Bhd. berkata, industri pengurusan pelabuhan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan yang dinilai menerusi perolehan industri syarikat-syarikat pengurusan pelabuhan di dalam negara.

Oleh yang demikian tambahnya, kumpulan berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan sedia ada dengan memasukkan perkhidmatan pengurusan pelabuhan bagi mempelbagaikan pendapatan dan perolehan menerusi penerimaan kontrak oleh Lembaga Pelabuhan Labuan.

Straits Inter Logistic telah mencadangkan kepelbagaian perniagaan pada 31 Januari lalu mengikut Perenggan 10.13 keperluan penyenaraian, yang mana tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.

Ketika ini, tumpuan Megah Development Sdn. Bhd., syarikat yang dikuasai 55 peratus oleh Straits Inter Logistic beroperasi di lapan pelabuhan di Malaysia iaitu Pelabuhan Lumut, Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor Bahru, Pelabuhan Kemanan, Pelabuhan Kuala Terengganu, dan Pelabuhan Labuan.

Kesemua pelabuhan tersebut beroperasi dan dilesenkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk perkhidmatan bunkering.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *