Jangan biarkan ada Eli Cohen!
DALAM sejarah pentadbiran Syria khususnya melibatkan bidang pertahanan, nama Eliyahu Ben-Shaul Cohen atau lebih dikenali sebagai Eli Cohen, memahat sejarah hitam negara itu.
Eli Cohen adalah perisik Yahudi yang menjalankan tugas risikan di Syria sekitar 1961 hingga 1965.
Berpindah ke Damsyik pada Februari 1962 menggunakan nama Kamel Amin Thaabet, ‘bakatnya’ yang licik membuatkan Eli Cohen mudah membina hubungan dengan ahli politik atasan Syria serta pegawai tentera.
Awalnya, beliau turut menggunakan identiti palsu sebagai seorang ahli perniagaan yang baru pulang dari Agentina dan pernah berpindah ke negara Amerika Latin itu pada 1961 sebagai persediaan menjalankan watak ‘Kamel Amin Thaabet’ ketika berada di Damsyik.
Oleh kerana hubungan yang rapat dengan pelbagai lapisan masyarakat Syria, beliau berjaya mengumpul pelbagai maklumat risikan untuk disalurkan kepada Israel.
Beliau juga satu-satunya orang awam yang berpeluang melawat Bukit Golan bersama pegawai tertinggi Syria dan mengumpul data risikan pertahanan di situ.
Atas alasan bersimpati dengan anggota tentera yang terdedah dengan cuaca panas, beliau mencadangkan pokok-pokok ditanam berhampiran kubu pertahanan.
Tanpa disedari Syria, pokok-pokok inilah yang menjadi penanda sasaran untuk tentera Israel melancarkan serangan dan akhirnya berjaya menawan Bukit Golan sehingga kini.
Demikian liciknya pemikiran Eli Cohen yang membantu rejim Zionis mendapatkan kawasan strategik di Bukit Golan hanya kerana ‘terpesona’ dengan simpati menanam pokok berhampiran kubu pertahanan.
Eli Cohen dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 1965 selepas serbuan dilakukan di sebuah pangsapuri oleh risikan Syria. Ketika itu, Eli Cohen sedang menghantar maklumat ke Tel Aviv.
Tragedi yang melanda Syria dengan wujudnya penyamar bernama Eli Cohen membawa banyak pengajaran. Seharusnya Syria bijak membaca permainan Eli Cohen.
Menanam pokok di kubu pertahanan, perlu dibaca sebagai satu bentuk ancaman terbuka kepada pihak musuh. Ada banyak helah-helah sang perisik, dan helah Eli Cohen cukup tragis buat Syria.
Paling penting, berhati-hati dengan permainan ‘orang luar’ yang menjadi pengatur kepada sistem pertahanan negara. Bukan sahaja pertahanan, sistem politik dan Perlembagaan juga, berwaspada ketika mendapatkan pandangan atau mendedahkannya kepada ‘orang luar’.