
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
POLITIK berkaitan kekuasaan dan jawatan. Memang benar kedua-duanya diperlukan bagi membolehkan seseorang ahli politik itu berkhidmat dengan berkesan kepada rakyat. Tetapi sejak 2008, politik sudah menjadi alat untuk merebut kekuasaan dan menjatuhkan pemimpin dengan mengatasnamakan rakyat.
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi bukti bagaimana Pakatan Harapan (PH) memperalatkan perjuangan untuk rakyat habis-habisan. Isu, dasar atau langkah yang tidak disukai rakyat ketika itu telah dimanipulasikan semaksimum mungkin sehingga kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan.
Selepas dua tahun, laungan demi rakyat bergema lagi. Ia telah dan sedang dipergunakan oleh para politikus untuk `menghalalkan’ tindak tanduk mereka. Satu pihak yang berjaya membentuk kerajaan dengan diketuai oleh Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, apa yang dilakukan bukanlah pengkhianatan tetapi demi menyelamatkan negara manakala pihak yang hilang kuasa pula menganggap ia adalah penghianatan kepada mandat rakyat apabila tertubuhkan apa yang mereka sifatkan kerajaan pintu belakang.
Ketika ini satu pihak sedang bergelut untuk membentuk Kabinet manakala satu lagi pihak sedang mengatur strategi untuk kembali berkuasa. Kedua-dua perkara ini berkaitan secara langsung dengan rakyat.
Rakyat mahukan Kabinet yang berintegriti dan berkrediliti. Rakyat tidak mahu pemimpin yang dianggap bermasalah, dilihat tidak bersih dan terpalit dengan kontroversi bergabung dalam Kabinet. Tetapi malangnya saya difahamkan ada pemimpin yang tetap bertegas mahu berada dalam Kabinet, biarpun dia tahu apa masalah yang ada pada dirinya.

Pihak yang satu lagi pula terus melakukan serangan’ bagi meracuni fikiran rakyat untuk menerima istilah pengkhianatan dengan mendendangkan lagu
demokrasi sudah mati’. Malah khabarnya pemimpin-pemimpin mereka akan pusing seluruh negara untuk memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku.
Persoalannya, bagaimana dengan rakyat? Tidak cukup lagikah selama seminggu mereka disumbatkan dengan konflik politik yang mengakibatkan ekonomi negara terjejas sehinggalah kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong berjaya meredakan keadaan.
Kalau semua orang politik benar-benar berjuang untuk rakyat, apabila Seri Paduka sudah membuat keputusan, semua pihak perlu akur. Jangan terpekik terlolong mengatakan demokrasi sudah mati sedangkan kalian masih lagi dibenarkan memaki hamun pemimpin-pemimpin tertentu di Dataran Merdeka.
Pada masa sama dalam media-media sosial, satu demi satu hantara dibuat oleh bekas-bekas pemimpin kerajaan mengecam Muhyiddin dan Pakatan Nasional (PN). Sepatutnya mereka berjiwa besar untuk menerima perkara yang sudah diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Jangan cuba menghasut rakyat dengan membuat kenyataan seolah-olah Seri Paduka campur tangan dalam politik. Seri Paduka bukannya membuat keputusan secara melulu tetapi penuh berhemat dan berhati-hati. Setiap seorang ahli Parlimen dipanggil, ditanya secara langsung hati ke hati siapa mereka mahu dipilih sebagai Perdana Menteri.
Kemudian apabila Seri Paduka berkeyakinan tiada calon yang mendapat sokongan majoriti, Seri Paduka menitahkan pula ketua-ketua menghadap bersama calon pilihan mereka dan akhirnya Muhyiddin dipilih.
Ia bermakna kemelut itu sudah selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi. Tetapi untuk memuaskan nafsu orang politik bukan mudah, biarpun merekalah pencetus masalah. Yang berjaya membentuk kerajaan mula menuntut jawatan dalam Kabinet manakala yang sudah tidak berkuasa bersedia melakukan apa sahaja untuk kembali berkuasa.
Kalau benarlah apa yang mereka lakukan demi rakyat sehingga sanggup meletakkan politik negara berada dalam kucar kacir selama seminggu, mereka akan memastikan tiada lagi tidak tanduk yang boleh mengulangi senario tersebut.
Tetapi gejolak nafsu orang politik tidak pernah reda. Khabarnya Muhyiddin berhadapan dengan masalah untuk membentuk Kabinet kerana ada dalam kalangan ahli politik yang mendesak supaya dia diberi jawatan Kabinet.
Ahli politik itu bukan tidak tahu apa yang rakyat mahu dan Kabinet seperti manakah yang mereka mahukan? Berintegri dan berkredibiliti – harus ada pakej ini. Kalau berintegriti tetapi tak berkebolehan tak guna juga, begitu juga kalau berkredibiliti tetapi tiada integriti, apatah lagi kalau tiada kedua-duanya lagilah `parah’.
Kalau betul berjuang untuk rakyat dan melakukan segala tindakan politik demi rakyat, maka biarkan Muhyiddin menentukan Kabinet tanpa gertakan’. Begitu juga bagi pihak yang hilang kuasa. Tidak payahlah
meroyan sangat’.
Rakyat masih belum lupa agenda 16 September 2013’ bagaimana ada usaha untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang. Siapa terlibat dan bagaimana ia dilakukan,
tanya saja kepada Mr.Google’ – di situ ada segala-galanya.
Mereka juga tidak perlu bercakap soal pengkhianatan kerana mereka sendiri sejak awal memerintah lagi telah mengkhianati rakyat apabila tidak melaksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto dan jangan berasa mereka sahaja paling bersih sedangkan dalam kalangan mereka, ada kes digugurkan biarpun perbicaraan sudah berjalan.
Janganlah hipokrit! Apabila istilah khianat dan pengkhianatan itu digunakan kalau sesuatu tindakan tidak menyebelahi mereka dan menganggap ia demi rakyat jika ia memihak kepada mereka.
Oleh itu ahli-ahli politik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang perlu menghentikan sandiwara yang sekali lagi akan menghumbankan rakyat dalam kesusahan. Rakyat hanya mahu mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan bukannya siang malam diganggu gugat dengan telatah politik yang `memperalatkan’ nama mereka.
Berilah peluang kepada Muhyiddin untuk mentadbir dan menguruskan negara ini berdasarkan kebijaksanaan beliau. Kalau mahu sangat berpolitik termasuk ingin jawatan dalam Kabinet atau kembali berkuasa tunggu sahaja pilihan raya, tak lama pun tiga tahun sahaja lagi.
Tempoh itu hanya dilihat lama bagi kelompok yang mempunyai kepentingan peribadi dan rakus kepada kekuasaan, tidak kira siapapun mereka!
*Penulis adalah bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia dan kolumnis tetap akhbar yang di tutup pada 9 Oktober 2019 itu.