KELANA JAYA : Taktik menyeludup dadah melalui kenderaan bagi tujuan pengedaran berskala kecil berjaya digagalkan selepas sepasukan pegawai Kastam menemui bahan terlarang dalam sebuah Perodua Bezza yang diparkir di kawasan pangsapuri Taman Desa Petaling, Selangor baru-baru ini.
Serbuan dijalankan pada kira-kira jam 3 pagi oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud, pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menemui dua beg runcit yang mengandungi bungkusan berisi bahan kristal disyaki syabu di tempat duduk belakang.
“Dadah dipercayai syabu itu seberat 11.031 kilogram dan dianggarkan bernilai RM352,992. Kesemua dadah tersebut dipercayai untuk pengedaran di pasaran tempatan.
“Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang merupakan pemilik kenderaan telah ditahan untuk membantu siasatan, manakala kereta itu turut disita,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambah Wan Norizan, siasatan masih giat dijalankan untuk menentukan peranan suspek serta meneliti sama ada Perodua Bezza itu disewa oleh individu lain.
Menurutnya, dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari luar negara sebelum diedarkan secara kecil-kecilan sementara taktik menyimpan dadah dalam kenderaan yang diparkir di kawasan awam bertujuan mengelak perhatian dan kecurigaan penduduk setempat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
