
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu Malaysia masih menunggu keputusan Myanmar berhubung penghantaran pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melaksanakan misi kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.
Katanya, pasukan perubatan ATM sudah membuat persediaan rapi bagi mewujudkan hospital medan di Myanmar.
“Kita (kementerian) sememangnya sudah bersedia, malah kita juga beritahu sedia hantar pada 16 April iaitu esok apabila kerajaan bersetuju menampung segala keperluan dan perbelanjaan mewujudkan Hospital Medan.
“Kita hanya menunggu pihak Myanmar memberikan ‘lampu hijau’ di mana hospital ini hendak diwujudkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan di Kem Kementah di sini, hari ini.
Terdahulu, Malaysia dilapor akan menghantar 35 pegawai perubatan ATM ke Myamnar bagi melaksanakan misi kemanusiaan susulan bencana gempa bumi yang berlaku di negara itu.
Mohamed Khaled memberitahu cadangan itu dibuat selepas kerajaan bersetuju mendirikan Hospital Medan di negara itu.
Perdana Menteri meluluskan secara dasar untuk negara menghantar hospital medan ke Myanmar seperti mana pernah diberikan kepada Turkiye sebelum ini berdasarkan keperluan rakyat negara itu yang memerlukan kemudahan serta bahan perubatan.