
TAPAH: Keprihatinan dan tindakan pantas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam mengukuhkan capaian internet di kawasan Pilihan Raya Kecial (PRK) Ayer Kuning, di sini mendapat pujian pelbagai pihak, termasuk petugas pilihan raya dan media.
Langkah itu diambil susulan teguran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berhubung masalah liputan yang dikenal pasti di 27 lokasi dalam kawasan DUN itu yang kini berdepan PRK.
Seorang petugas media, Wan Zahari Wan salleh berkata, capaian internet di kawasan tersebut semakin laju dan stabil berbanding sebelum ini.
“Alhamdulillah, internet semakin laju ketika saya buat liputan, jadi memudahkan kerja petugas media. Tiada sangkut-sangkut,” katanya.
Petugas pilihan raya juga memaklumkan isu internet di kawasan berkenaan tidak menjadi masalah besar.
“Liputan internet di kawasan ini baik-baik sahaja, kecuali di luar kawasan yang tidak berapa lancar,” kata Shahril Muhamad.
Berhubung teguran Fahmi, semua penyedia perkhidmatan termasuk CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan kepada MCMC.
Antara inisiatif dilaksanakan termasuklah pembaikan rangkaian sedia ada, pemasangan pemancar sementara dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan bagi meningkatkan mutu liputan di kawasan terlibat.
Fahmi sebelum ini menetapkan kelajuan minimum internet pada tahap 7.5 megabait sesaat (Mbps) yang akan meningkat kepada 10Mbps dalam tempoh setahun.
Beliau berkata, syarikat telekomunikasi juga berdepan tindakan penguatkuasaan dengan kompaun bernilai jutaan ringgit boleh dikenakan sekiranya organisasi berkenaan gagal berbuat demikian.