
SEPANG: Lokasi bagi menepatkan mangsa insiden letupan gas Putra Heights yang terletak di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang, Selangor bukanlah kawasan terpencil sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, ketika ini, ia merupakan lokasi yang paling sesuai kerana mempunyai unit kosong untuk disewa.
“Sebenarnya kita melihat di mana ada kekosongan (unit kosong). Kami di Selangor ada beberapa tempat lain tetapi ia telah dipenuhi dengan penyewa.
“Yang betul-betul kosong adalah di sini (Pangsapuri Seri Suria) dan hanya disini. Lagipun, dari Putra Heights ke sini lebih kurang 30 kilometer,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Sementara kepada mangsa Insiden Letupan Paip Gas Putra Heights di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan Sepang di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya juga melihat ada mangsa-mangsa yang dahulunya berulang alik dari rumah mereka ke kawasan ini untuk bekerja sekali gus memudahkan mereka.
Borhan berkata, lebih menarik, rumah yang disediakan ini adalah unit rumah pangsa baharu serta lengkap kemudahan yang selesa.
Katanya, mangsa yang memohon unit ini menerusi Skim Smart Sewa boleh mula menduduki tanpa sebarang deposit.
“Seperti yang kita janjikan, rumah ini kita tawarkan dengan sewa RM850 sebulan termasuk caj perkhidmatan. Harga pasaran sebenarnya RM1,200 dengan pelbagai kemudahan, dua lot parkir selain lampu, kipas, elektrik dan air disediakan.
“Dengan bantuan sewaan RM2,000 selama enam bulan dari kerajaan negeri maka, mereka ada lebihan lagi bantuan untuk menampung kos lain,” katanya.
Katanya, setakat ini, 75 mangsa telah berdaftar untuk memohon rumah ini dan menjangkakan separuh daripadanya memilih tawaran ini.
Jelasnya lagi, penyewa juga boleh memohon untuk meneruskan sewaan selepas tempoh enam bulan berdasarkan kelayakan.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menawarkan 100 unit rumah Smart Sewa di Sepang yang sebahagiannya dibiayai Kerajaan Selangor.