
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, meskipun dunia berdepan pelbagai jurang geopolitik, Malaysia yakin kerjasama erat dengan China akan terus diperkasakan.
Titah Baginda, Malaysia memberi tumpuan kepada integrasi ekonomi yang lebih mendalam, pengukuhan kolaborasi dalam rantaian bekalan dan sektor perindustrian serta meningkatkan ketersambungan dengan semua rakan strategik termasuk China berlandaskan prinsip hormat dan manfaat bersama.
“Saya percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China untuk meneroka peluang di sini kerana ia selari dengan kepentingan ketersambungan serantau dan pembangunan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China.
“Dengan insentif strategik yang kukuh serta lokasi yang baik, Hab Kewangan Khas Forest City di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah muncul sebagai antara lokasi pelaburan utama rantau ini,” titah Sultan Ibrahim yang dimuatnaik di Facebook.
Dalam pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping sempena lawatan negara di Istana Negara hari ini, Sultan Ibrahim turut berkenan menjemput Kerajaan China untuk memperluaskan lagi program pertukaran bahasa antara kedua-dua negara.
“Jumlah pertukaran pelajar antara negara kita telah meningkat dan kita berhasrat untuk menghantar lebih ramai lagi penuntut kita ke China untuk bertukar ilmu kebudayaan seiring dengan pembelajaran mereka.
“Saya percaya bahasa adalah jambatan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala. Ke arah ini, saya berhasrat untuk giat mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU),” titah baginda.