KUALA LUMPUR: Pembukaan semula Menara Kuala Lumpur (Menara KL) kepada orang ramai akan dilakukan selepas kerja penyelenggaraan dan isu keselamatan ditangani sepenuhnya oleh konsesi baharu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, hasil pemantauan petugas kementerian di Menara KL mendapati ada perkakas di dapur dan beberapa ruangan di lokasi berkenaan tidak berada dalam keadaan selesa untuk pengunjung.
“Hasil lawatan pasukan komunikasi ke Menara KL, kita dapati selain berdasarkan gambar dan video hasil pengamatan pasukan, banyak daripada sama ada perkakas di dapur dan di menara berputar, yang ada restoran dulu, tidak berada dalam keadaan yang nyaman atau selesa untuk pengunjung.
“Malah kita lihat ada ‘railling’ yang berada di ‘deck’ yang sudah diturunkan. Ini saya rasa merisaukan. Jadi, demi keselamatan pengunjung, maka syarikat baru perlu segera melaksana penyelenggaraan termasuk (menilai) aspek keselamatan,” katanya pada sidang media di Menara Angkasapuri di sini, hari ini.
Beliau berkata, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan juga sudah memasuki premis Menara KL tengah malam tadi beserta notis awal penutupan, untuk memberi ruang kepada konsesi baru melakukan kerja-kerja persiapan sebelum dibenar dibuka semula.
“Penting untuk kita sebut Menara KL adalah sepenuhnya hak milik kerajaan yang diurus operasinya oleh Kementerian Komunikasi. Sejak 1 April lalu, syarikat lama sudah tamat operasi dan syarikat baru mula (ambil alih) 1 April.
“Atas sebab yang disebut dalam media, syarikat lama enggan keluar, maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan sudah meneliti isu ini. Kita sudah melalui proses oleh pihak pesuruhjaya masuk (dan ini) untuk memudahkan pemegang konsesi baharu masuk kelak,” katanya.
Menyentuh nasib pekerjanya, Fahmi menjelaskan seramai 193 daripada 205 pekerja dari syarikat lama sudah diserap masuk ke dalam syarikat baharu.
“Mereka sudah tamat perkhidmatan pada 1 Syawal, tapi syarikat baharu sudah ambil.
Berpandukan notis yang dikeluarkan pada 18 Disember lalu, memang Kementerian Komunikasi minta syarikat baru mengambil semua pekerja kerana ramai pekerja yang ada sudah 12,13 tahun berkhidmat dan bekerja di sana,” katanya.
Media melaporkan, bangunan Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.
Penutupan sementara itu juga dibuat selepas Pesuruhjaya Tanah Persekutuan mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) melalui surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.
