
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa melaksanakan tindakan undang-undang terhadap akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily berhubung isu penerbitan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit.
Felo Kanan Majlis Professor Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, tindakan tegas itu wajar bagi memberi pengajaran kepada semua pihak supaya perkara sama tidak berulang.
Beliau turut melahirkan kebimbangan isu tersebut akan mencetuskan konflik jika dibiarkan terus berlarutan.
“Kelakuan seperti ini terlalu kerap berlaku yang mana rata-rata dilakukan melalui kelompok sama. Natijahnya, mereka ini tidak belajar daripada kesilapan lampau.
“Justeru kali ini perlu tindakan tegas untuk menghalang perkara sama berlaku lagi. Sebelum ini kita hanya menerima permohonan maaf sahaja, tidak lama kemudian isu tersebut timbul lagi,” katanya ketika dihubungi Ceritera hari ini.
Menurut beliau, sudah sampai masanya kelakuan sedemikian dinoktahkan demi keharmonian agama, bangsa dan kedaulatan negara ini.
“Kita tidak boleh lagi bersikap toleransi mengenainya kerana banyak kali berlaku. Salah laku terhadap bendera Malaysia ini sudah sampai ke tahap memuncak.
“Ia tidak sepatutnya berlaku pada media ulung yang telah wujud sejak sekian lama. Di mana tahap profesionalisme mereka sehingga boleh terlepas pandang,” tegasnya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan (Sin Chew Daily) boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.
Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mengesahkan Sin Chew Daily telah diberikan surat tunjuk sebab selepas dipanggil bagi siasatan berhubung isu penyiaran Jalur Gemilang tidak lengkap semalam.
Menurut KDN, siasatan dilaksanakan serta-merta di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Kelmarin, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.






