KUALA LUMPUR: Bercerita mengenai keistimewaan yang ada di Tanah Suci, pasti terselit kisah-kisah misteri atau ajaib yang pernah berlaku pada jemaah ketika menunaikan ibadah haji atau umrah.
Ada yang berdepan dengan pengalaman menginsafkan, mendebarkan dan terdapat juga kisah-kisah yang menunjukkan kebesaran Allah SWT.
Mutawif antara pihak yang sering berdepan pelbagai kisah pelik dan ajaib sepanjang menguruskan para jemaah di Tanah Suci.
Bagi Muhammad Zaki Ridzuan, perkongsiannya bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak, tetapi perlu dilihat sebagai pengajaran dan hidayah yang diberikan oleh Allah SWT.
“Kisah itu berlaku semasa saya menunaikan ibadah umrah buat kali pertama pada 2015. Ketika kumpulan jemaah selesai menunaikan tawaf dan saie, ada seorang wanita warga emas mengadu kakinya sakit.
“Dia beritahu, sakit kakinya sehingga dia tidak boleh berjalan dan kami semua buntu bagaimana mahu membawa dia pulang ke hotel kerana kami tidak tahu adanya perkhidmatan kerusi roda untuk jemaah.
“Saya berdoa di dalam hati semoga Allah memudahkan urusan dan pergerakan kami. Ketika kami sedang befikir apa yang perlu dilakukan, tiba-tiba ada seorang individu datang membawa kerusi roda untuk kami.
“Orang itu memberitahu kerusi roda berkenaan disedekahkan oleh seorang hamba Allah untuk digunakan wanita warga emas terbabit,” katanya.
Muhammad Zaki berkata, mereka kemudiannya menggunakan kerusi roda itu untuk menghantar wanita warga emas tersebut pulang ke hotel.

Selain itu, satu lagi kisah yang tidak dapat dilupakan Muhammad Zaki adalah mengenai seorang jemaah yang merupakan perokok tegar.
Katanya, jemaah itu berazam mahu berhenti merokok sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Dia cakap mahu berhenti merokok kerana tahu amalan itu tidak bagus untuk kesihatan dan sepanjang berada di Tanah Suci, dia memang tidak merokok langsung.
“Saya ingat, selepas dia balik ke Malaysia, dia akan merokok semula sehinggalah saya berhubung semula dengannya, jemaah itu beritahu dia tidak lagi merokok sehingga sekarang.
“Dia cerita, sejak dia berazam untuk berhenti merokok, seakan ada satu semangat yang menguatkan hatinya untuk tidak lagi menyentuh rokok. Itulah kuasa Allah SWT yang pegang hati kita. Apa yang berlaku semuanya rahsia Allah,” katanya.
Kisah para jemaah mengalami kejadian pelik atau ajaib di Tanah Suci bukanlah sesuatu yang asing, malah setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Para jemaah perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku untuk menjadi umat Islam yang lebih baik.
Sementara itu, syarikat pengendali umrah, Andalusia Travel & Tours menawarkan pelbagai pakej pada harga berpatutan.
Syarikat itu juga menawarkan peluang kepada umat Islam di negara ini untuk menunaikan umrah menerusi cabutan dalam Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA).

Kempen itu membolehkan para peserta yang berdaftar berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berjumlah RM500,000 termasuk sebuah kereta dan dua motosikal.
Cabutan bertuah itu akan berlangsung selama 52 minggu sehingga 31 Disember 2025 pada setiap hari Jumaat yang disiarkan menerusi siaran langsung bermula pukul 8.30 sehingga 10 malam.







