1,000 warga China ditahan ketika serbuan disebuah premis di Cyberjaya baru-baru ini.
Pengauditan itu juga mendapati data kira-kira 1.26 juta warga China dan 295,634 warga India masih diproses secara manual di bawah MyIMM
KUALA LUMPUR 3 Dis. – Lebih 95 peratus warga China dan India yang memasuki negara ini tidak mencatakan rekod keluar sejak 2016 hingga tahun lalu.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2, sepanjang 2016 hingga 2018, data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) menunjukkan 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.
“Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.
“Pengauditan itu juga mendapati data kira-kira 1.26 juta warga China dan 295,634 warga India masih diproses secara manual di bawah MyIMM,” jelas laporan berkenaan yang dikeluarkan semalam.
Selain itu, dilaporkan juga wujud kelemahan dalaman yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dab MyIMMs ketika proses di pintu masuk pelancong.
“Pihak audit berpendapat pengurusan Jabatan Imigresen dan kawalan dalam di pintu masuk kurang cekap kerana pengesahan data kemasukan pelancong secara manual dan offline tidak dikemaskini.
“Keadaan itu mengakibatkan data apungan sebanyak 1.56 juta dalam tempoh 2016 sehingga 2018,” jelas laporan berkenaan.
Semua penemuan itu dibuat dalam Laporan Audit Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mengenai aktiviti kementerian, jabatan kerajaan dan badan-badan Persekutuan.
Sumber Sinar Harian





