
KOTA KUALA KEDAH: Dianggarkan 3,000 pengunjung menghadiri Program Semarak@Muzium Kota Kuala Kedah anjuran Jabatan Muzium Negara.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 25 dan 26 Oktober itu bertujuan meningkatkan hubungan komuniti antara muzium dengan masyarakat dalam mengangkat dan memartabatkan pelbagai warisan tradisi, seni, budaya, serta sejarah negara khususnya di negeri Kedah.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, penganjuran program Semarak@Muzium adalah inisiatif jabatan itu dalam rangka libat urus bersama pelbagai pihak sama ada dalam kalangan agensi persekutuan, agensi negeri, badan-badan bukan kerajaan, pertubuhan atau persatuan, usahawan dan orang-orang perseorangan.
“Program ini merupakan program yang berkonsepkan muzium bersama komuniti yang menjadi platfrom dan usaha progresif pihak jabatan dalam mengangkat dan memartabat pelbagai warisan seni, budaya dan sejarah negara khususnya di Kota Kuala kedah.
“Justeru, penganjuran program ini dengan matlamat untuk memperkukuh dan menjalin hubungan yang lebih erat dengan komuniti dan masyarakat berbilang kaum yang menjadi tonggak kekuatan identiti negara Malaysia,” katanya Ketika berucap dalam program berkenaan, di sini hari ini.

Majlis kemudiannya dirasmikan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin.
Sepanjang dua hari program itu berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran,
jualan dan demonstrasi oleh pelbagai jabatan dan agensi, persembahan kebudayaan, sukan rakyat, pelbagai pertandingan seperti pakaian tradisional kanak-kanak, memancing, menjala dan pertandingan gusti lengan.
Dalam pada itu, Kamarul Baharin berkata, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Kolej Poly-Tech MARA, Alor Setar.
Katanya, sejumlah 40 pelajar dan pensyarah terlibat sebagai sukarelawan dalam usaha mencipta rekod 1000 peserta memperagakan pakaian tradisional Melayu di dalam kawasan Muzium Kota Kuala Kedah.
“Jabatan Muzium Malaysia sentiasa mengambil kira aspirasi negara dalam usaha membentuk sebuah masyarakat Madani berteraskan perpaduan.
“Persefahaman, semangat bersatu-padu dan toleransi yang tinggi diperlukan untuk mencapai gagasan tersebut berlandaskan prinsip ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’,” ujarnya.