
KUALA LUMPUR: Isu bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu tidak perlu lagi menjadi pertikaian mana-mana pihak yang hanya berniat untuk mencetuskan ketidakstabilan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Sebaliknya, bahasa kebangsaan perlu dilihat sebagai ‘tiang seri’ dalam pembinaan negara bangsa yang menekankan elemen kebersamaan masyarakat menerusi bahasa.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago berkata, menerusi Dasar Perpaduan Negara, bahasa Melayu perlu dipelihara dan dimartabatkan sebagai bahasa yang mencerminkan identiti nasional dan dapat mengukuhkan perpaduan.
Sehubungan itu, jelas beliau, terdapat beberapa inisiatif dilakukan oleh kementerian bagi tujuan tersebut.
“Antaranya ialah penyediaan perkhidmatan rujukan maklumat kepada masyarakat menerusi Perpustakaan Negara, penganjuran bengkel bahasa Melayu untuk ekspatriat dengan kerjasama kedutaan dan pesuruhjaya tinggi dan program Kalam Karyawan bagi mengiktiraf karya tokoh-tokoh ilmu dan budayawan, terutamanya mereka yang diiktiraf sebagai Sasterawan Negara.
“Selain itu, kementerian juga akan mengadakan kursus bahasa Melayu bagi memperkasa penggunaan bahasa yang betul dan aktiviti bersama masyarakat bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) peringkat kebangsaan di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini hari ini.
Sebanyak 15 pasukan terdiri daripada 145 murid SJKC Zon Utara, Tengah dan Selatan menyertai pertandingan akhir tersebut.
“Pertandingan ini menjadi wahana bagi menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, indah dan tertib selain dipenuhi dengan nilai-nilai murni menerusi pementasan teater,” ujarnya.
Program ini turut melibatkan kerjasama strategik daripada Persatuan Han Malaysia (HAN), Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) serta Kementerian Pendidikan Malaysia.