
KUALA LUMPUR: Semua pihak berkepentingan perlu memahami konteks ASEAN berfungsi berdasarkan prinsip yang terkandung dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Piagam ASEAN.
ASEAN, sebagai organisasi serantau berpengaruh, sering kali terlibat dalam pelbagai cabaran dan kritikan, termasuk mengenai kepemimpinan negara-negara anggota.
Pakar Pengajian ASEAN, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Prof. Phar Kim Beng, berkata, peranan ASEAN tidak boleh dilihat secara terasing dari prinsip dasar ditetapkan sejak penubuhannya pada 1967.
Menurutnya, ASEAN bermula sebagai komuniti bertujuan menggalakkan kerjasama sosial, budaya, ekonomi dan keselamatan, tetap berpegang kepada prinsip kerjasama berterusan, tanpa melupakan peranan penting PBB dalam membimbing proses multilateral serantau.
“Piagam ASEAN, diubah suai pada 2007 dan disahkan oleh Parlimen Indonesia pada 2009, menggariskan pentingnya ASEAN dalam menguruskan urusan serantau secara berautonomi namun dengan tetap berhubung rapat dengan PBB.
“ASEAN juga digalakkan untuk mengutamakan Diplomasi Pencegahan dan Keamanan Serantau sebagai langkah awal sebelum melangkah ke kerjasama lebih mendalam dalam bidang keselamatan dan politik.
“Kritikan terhadap kepemimpinan ASEAN, terutama dalam konteks Pengerusi ASEAN yang memegang jawatan pada tahun 2025, adalah perkara biasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, sungguhpun menerima kritikan tidak membina perkara itu mencerminkan ketidakfahaman terhadap asas dan sejarah ASEAN, berakar umbi dalam pengalaman pasca penjajahan serta semangat kerjasama serantau.
Katanya, ASEAN perlu dipandang sebagai satu komuniti bersatu terdiri daripada 700 juta rakyat perlu mengutamakan prinsip kemampanan dan berkaitan.
“Ia bagi memastikan masa hadapan lebih sejahtera bagi semua negara anggotanya.
“Selain itu, hubungan erat ASEAN dengan rakan dialog global seperti Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, dan Amerika Syarikat (AS) memperlihatkan betapa pentingnya ASEAN dalam memimpin forum multilateral dan menangani isu-isu keselamatan serta ekonomi di Asia Pasifik.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha ASEAN untuk memastikan relevansi dan kecekapan dalam menangani isu global yang semakin kompleks,” ujarnya.
Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN negara bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk mewujudkan kerjasama lebih kukuh dengan negara serantau dan global serta memperbaiki prestasi ASEAN.
“Keberhasilan Malaysia dalam menerajui ASEAN akan bergantung pada pemahaman yang mendalam terhadap sejarah, prinsip dan piagam ASEAN ditetapkan sejak awal lagi.
“ASEAN, bukan hanya mengenai kerjasama politik dan ekonomi, tetapi juga tentang membina kepercayaan antara negara anggota serta memupuk hubungan kukuh dalam menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Sementara itu, Kim Beng juga menyatakan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini tidak perlu gentar dengan sebarang kritikan kerana ia perkara biasa yang akan berlaku pada setiap persidangan itu berlangsung.