
PUTRAJAYA: Perdana Menteri mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen bazar Ramadan yang dikeluarkan sekiranya mendapati ada peniaga memindahkan lesen mereka kepada pihak lain.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu ‘memindahkan’ lesen itu antara aspek tatakelola yang harus diberi penekanan dan memerlukan penguatkuasaan lebih baik.
“Bayangkan orang nak berniaga bulan Ramadan untuk mendapat hasil dan upah yang lebih tinggi, untuk persiapan keluarga, itu masih ada (isu tatakelola yang berlaku).
“Saya ucapkan terima kasih kepada DBKL kerana kadar (bayaran lesen) itu dikurangkan, tapi kena pastikan siapa yang dapat lesen… dia kerja, kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Dalam pada masa, Anwar juga mahu semua projek berkepentingan rakyat termasuk membasmi kemiskinan tegar dan tebatan banjir disegerakan.
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri sudah meminta supaya perbendaharaan negara dan Kementerian Ekonomi memberi kelonggaran mempercepatkan peruntukan yang diperlukan.
“Dua malam lalu saya sempat menelefon Ketua Pengarah ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) untuk memastikan kita pantau umpamanya projek kemiskinan tegar, saya periksa umpamanya (di) Parlimen Tambun, ada dalam 15 (keluarga miskin tegar), (angka) itu boleh cari dan selesaikan dua hari, supaya kemiskinan tegar itu dapat diselesaikan.
“Begitu juga pelaksanaan projek (tebatan banjir), saya selalu tanya Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) terutama soal tebatan banjir, saya ada minta kalau boleh perbendaharaan beri kelonggaran supaya dapat dipercepatkan melalui peruntukan segera,” katanya.