
KUALA LUMPUR: Isu berkaitan garis panduan dan kajian mengenai kunjungan orang Islam ke rumah ibadat bukan Islam bagi menyambut perayaan, upcara kematian serta beberapa acara turut mendapat perhatian golongan agamawan.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Mohd Sukki Othman berkata, negeri itu menerusi satu meysuarat khas berkaitan isu berkenaan memutuskan, tidak diharuskan kecuali jika ada tujuan tertentu seperti belajar dan memahami budaya masyarakat yang berlainan agama dengan syarat tidak membawa kepada fitnah, kecenderungan membenarkan amalan dan upacara keagamaan orang bukan Islam dan kunjungan tersebut tidak membawa kepada pengabaian ke atas syariat yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Katanya, hal itu bedasarkan kaedah membuka pintu kebaikan. Namun demikian, adalah tidak digalakkan orang Islam memaski rumah ibadat bukan Islam tanpa tujuan tertentu kerana boleh menimbulkan fitnah.
Selain itu, Mohd Sukki juga menjelaskan, mesyuarat khas itu memutuskan diharamkan kanak-kanak bawah umur yang belum mumayyiz berkunjung ke rumah ibadat bukan Islam untuk mengelakkan daripada mengalami pembiasaan (habituasi) dalam minda mereka terhadap amalan kufur dan syirik yang dibimbangi boleh mendatangkan kesan kepada akidah mereka.
“Antara perkara lain yang diputuskan adalah diharamkan berkunjung ke rumah ibadat bukan Islam pada hari sambutan perayaan orang bukan Islam dengan tujuan untuk menyertai upacara keagamaan mereka seperti berarak di jalan bersama kelompok penganut agama tersebut kerana hal ini boleh membawa pengagungan kepada dewa-dewa dan tuhan orang bukan Islam.
“Diharamkan memakai pakaian khusus keagamaan yang memiliki lambang atau simbol agama-agama selain Islam.
“Diharamkan melakukan perbuatan yang memiliki kepercayaan tertentu seperti mencucuk colok dan menyalakan lilin khas di tokong, menghias dan menyalakan kuttu vilaku atau pelita di kuil dan juga menyalakan lilin di gereja,” katanya kepada Ceritera.
Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju JAKIM boleh memberikan nasihat kepada umat Islam di negara ini berkaitan keperluan menjaga akidah ketika mengikuti majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, dalam kenyataan bersama mereka, dilaporkan berkata nasihat itu bagaimanapun tidak bersifat dasar.
Dalam pada itu, Mohd Sukki menyatakan orang Islam juga diharamkan melaku perbuatan yang mengagungkan atau menunjukkan kemesraan terhadap berhala rumah ibadat bukan Islamseperti menundukkan kepala, membuat isyarat tangan sembah hormat, melakukan tabik hormat dan seumpamanya.
“Umat Islam diharuskan mematuhi etika pakaian dan kebersihan RIBI jika pengunjung disyaratkan berbuat demikian kerana hal-hal tersebut bersifat adat dan tidak mempunyai kaitan dengan upacara keagamaan.
“Selain itu, umat Islam diharamkan berkunjung untuk tujuan mencari ketenangan dan bertafakur (bermeditasi) di rumah ibadat bukan Islam,” ujarnya