SEOUL: Kumpulan sensasi global dari Korea Selatan, BTS bakal melancarkan album studio baharu pada bulan Mac nanti.
Album yang bakal memuatkan 14 lagu tersebut pasti akan mengubati kerinduan ARMY ataupun peminat BTS di seluruh dunia selepas menunggu hampir empat tahun.
Dalam satu kenyataan BIGHIT Music berkata, album baharu tersebut mempunyai makna yang sangat istimewa kerana ia menandakan album pertama dilancarkan oleh kumpulan itu selepas tiga tahun sembilan bulan.
“Setiap ahli terlibat secara mendalam dalam penghasilan lagu-lagu, menyuntik pemikiran dan mengekspresikan emosi serta cabaran yang telah dilalui sepanjang perjalanan seni mereka.
“Album ini sarat dengan kisah jujur yang ingin dikongsi BTS bersama ARMY yang telah lama menantikan kemunculan semula mereka sebagai sebuah kumpulan lengkap,” katanya.
BIGHIT Music menambah, selepas pelancaran album tersebut, BTS akan memulakan jelajah dunia dan jadual tersebut akan diumumkan secara berasingan pada 14 Januari kelak.
Kesemua tujuh anggota BTS telah selesai menjalani latihan ketenteraan wajib di Korea Selatan dan kini bersedia bertemu peminat.
