
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius isu perubahan tempoh masa tambahan yang berlaku ketika perlawanan antara Indonesia dan Bangladesh dalam aksi Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.
Menurut kenyataan media FAM, perlawanan tersebut menyaksikan tempoh masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit boleh berubah kepada tujuh minit.
Sehubungan itu, FAM akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menjelaskan asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan tersebut.
“FAM ingin menegaskan bahawa pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan.
“FAM turut berpandangan bahawa perkara ini wajar diberikan perhatian sewajarnya memandangkan perlawanan tersebut melibatkan persaingan untuk menentukan kedudukan akhir Kumpulan A, sekali gus memberi kesan kepada penentuan pasukan yang layak ke final,” kata kenyataan itu.
Justeru, FAM menggesa FIFA supaya menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, FAM menegaskan permohonan itu bukan bertujuan untuk mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan tetapi bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul.






