Mahkamah/Kes

#justiceforbella : Pengasas Rumah Bonda didakwa abai anak sindrom down

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengabaikan seorang remaja perempuan sindrom down sehingga mengalami kecederaan pada Jun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga remaja kurang upaya (OKU) berkenaan dan telah menyebabkan pengabaian sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu dibuat di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju antara bulan Februari sehingga Jun tahun ini yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

Jika sabit kesalahan, tertuduh itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun serta denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 berikutan kes tersebut melibatkan kepentingan awam.

Walaubagaimanapun tertuduh dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah sebanyak RM12,000 bersama seorang penjamin termasuk pasport diserahkan kepada pihak mahkamah serta perlu hadir ke balai polis berdekatan setiap bulan.

Tertuduh turut diarahkan untuk tidak mengganggu mangsa serta saksi bagi kes berkenaan.

Mahkamah menetapkan tarikh 4 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.

Pada Jun 2021, telah tular remaja OKU ditemui melecur teruk pada dada, tangan dan leher dipercayai didera di pusat asuhan di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.

Ketua Jabatan Sisatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, remaja berusia 13 tahun itu yang diselamatkan selepas pihaknya menerima aduan pada 24 Jun lalu, turut mempunyai kesan luka pada paha.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *