Politik

“Presiden” Malaysia sudah berakhir – DAP menulis

Gambar/ Jabatan Penerangan


AMALAN Perdana Menteri berlagak “presiden” di Malaysia sudah berakhir. Perdana Menteri tidak lagi dapat berkuasa sepenuhnya dalam sistem politik kita.

Pilihan Raya Umum 2018 telah menamatkan pemerintahan ‘satu parti’ UMNO yang mentadbir Malaysia sejak 1955, dua tahun sebelum negara kita merdeka. Komponen utama kerajaan ‘satu parti’ adalah kuasa besar yang tertumpu di tangan seorang Perdana Menteri yang juga merupakan presiden parti dominan dalam gabungan kerajaan.

Pada tahun 1990-an, ahli-ahli politik pembangkang selalu berseloroh bahawa, sementara Britain menukar Perdana Menteri setiap lima tahun dan ratunya memerintah seumur hidup, di Malaysia, pemilihan Yang di-Pertuan Agong di Malaysia dibuat setiap lima tahun tetapi Tun Dr Mahathir Mohamad memerintah seumur hidup. Tentunya hal tentang Dr Mahathir hanyalah sekadar jenaka tetapi itulah tanggapan ketika itu.

Perdana Menteri yang dulunya terlampau berkuasa

Kedudukan Perdana Menteri sering dilihat sebagai jawatan yang dipegang seolah-olah buat selama-lamanya. Biasanya berjuta-juta keping gambar Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri diedarkan ke pejabat kerajaan, hotel malah kedai kopi untuk digantung di dinding.

Dengan itu, lebih baik jika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang telah mengangkat sumpah pada hari Sabtu lalu sebagai Perdana Menteri kesembilan dan yang ketiga dalam tempoh tiga tahun, menumpukan tugas-tugasnya tanpa peduli sangat dengan pengedaran gambarnya sendiri. Maklumlah, tempoh pentadbiran beliau mungkin tidak begitu lama sangat.

Di zaman kemuncak kerajaan ‘satu parti’ UMNO, Perdana Menteri juga merupakan Menteri Kewangan. Dua orang Menteri Kewangan pertama – Tun HS Lee dan Tun Tan Siew Sin – adalah Presiden MCA, rakan gabungan UMNO dalam kerajaan Perikatan. Kemudian, jawatan ini disandang oleh pemimpin-pemimpin politik kanan UMNO seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Daim Zainuddin, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas pemecatan Anwar yang penuh kontroversi pada 1998 dan penamatan khidmat Daim sebagai Menteri Kewangan pada tahun 2001, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri turut memegang jawatan tersebut. Perdana Menteri berikutnya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak juga meneruskan amalan itu.

Berlakunya skandal kewangan terbesar 1MDB adalah kerana setiap proses semak dan imbang dalaman telah dihapuskan berikutan semua kuasa berpusat di tangan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Apabila kerajaan mengubah langkah daripada amalan pasaran bebas laissez faire kepada mengambil peranan yang lebih aktif dalam menerajui pembangunan dan ekonomi sejak tahun 1970-an, kuasa Unit Perancang Ekonomi dalam Jabatan Perdana Menteri berkembang secara mendadak.

Kuasa yang ada di tangan Perdana Menteri untuk menganugerahkan projek mengikut budi bicaranya memberi beliau kelebihan berbanding saingan politik di dalam dan luar kerajaan. Perdana Menteri juga memastikan sokongan terhadapnya sentiasa berterusan menerusi pengagihan kontrak dan jawatan pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun.

Kuasa untuk menyiasat mengikut kehendaknya, menahan dan menekan musuh politik yang tidak disukainya menerusi polis, LHDN, SPRM dan entiti kerajaan lain telah menguatkan lagi senjata politik Perdana Menteri yang mempunyai kuasa presiden ini. Krisis perlembagaan 1988 yang menyaksikan pemecatan hakim-hakim kanan mengakibatkan penghakisan kuasa dan kebebasan badan kehakiman.

Kedua-dua krisis perlembagaan pada tahun 1983 dan 1993 telah mengurangkan pengaruh dan kuasa institusi Raja berbanding dengan kuasa Perdana Menteri. Parlimen pula dianggap sebagai cop getah pihak eksekutif sementara media ditekan dan proses pilihan raya dimanipulasi.

Sejak tahun 1960, UMNO tidak lagi mengadakan pemilihan parti di peringkat negeri dan menggantikannya dengan pelantikan Badan Perhubungan Negeri oleh presiden parti. Ini membolehkan presiden parti yang juga Perdana Menteri mengawal Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri-negeri bawah pemerintahan UMNO.

Era baharu yang merumitkan

Semasa era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dari tahun 2018 hingga 2020, kuasa Perdana Menteri dikurangkan dengan ketara melalui penubuhan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi memastikan ia berada di luar kawalan Jabatan Perdana Menteri. Perdana Menteri juga tidak boleh lagi memegang jawatan Menteri Kewangan, malah tidak mempunyai sebarang portfolio tambahan.

Kuasa pentadbiran dikongsi bersama kalangan parti-parti rakan. Usaha memperbaiki isu-isu seperti integriti kehakiman, reformasi Parlimen, dan pelantikan lebih banyak golongan profesional dalam GLC juga dijalankan.

Malangnya, walaupun Dr Mahathir dan Anwar sebelum ini bersetuju untuk bekerjasama menentang kezaliman Najib dan Barisan Nasional, kedua-dua pemimpin veteran ini tetap sangsi antara satu sama lain.

Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri ketujuh pada tahun 2018 setelah mentadbir selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri keempat di antara tahun 1981 dan 2003.

Penyokong Anwar ingin melihat berakhirnya pemerintahan Dr Mahathir sementara para penyokong bekas Perdana Menteri itu pula bimbang kelangsungan politik mereka akan disekat apabila Anwar menjadi Perdana Menteri. Permusuhan ini masih berlanjutan hingga hari ini.

Dalam PKR, retaknya hubungan di antara Anwar dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mendorong bekas orang kuat Anwar itu bersekongkol dengan musuh politik untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.

UMNO yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dengan sokongan bekas bosnya Najib, juga berusaha untuk kembali berkuasa melalui apa jua cara sekalipun.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, seorang bekas pemimpin kanan UMNO yang bergabung dengan Dr Mahathir untuk bersama Pakatan Harapan, memilih untuk mengkhianati kerajaan setelah 22 bulan memenangi kuasa demi mengejar jawatan Perdana Menteri kelapan – melalui kerajaan Perikatan Nasional yang baharu bersama UMNO.

Langkah Sheraton pada Februari 2020 telah menyatukan kumpulan yang berbeza impian dalam satu gabungan sementara untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui Dr Mahathir.

Muhyiddin mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020. Pada 9 Mac, ketika Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinetnya, dalam satu rencana saya telah menulis: “Sekarang Perdana Menteri juga menjadi Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi, dalam erti kata yang sebenar. Kabinet ini dibentuk atas faktor ketakutan Muhyiddin. Beliau sedar kedudukannya sentiasa terancam. Oleh itu, Muhyiddin harus mengawal portfolio kewangan dan hal ehwal ekonomi – alat yang sangat efektif untuk membantu dirinya untuk terus berkuasa.

“Ketakutan adalah faktor terpenting yang mempengaruhi pilihan Kabinet Muhyiddin. Perdana Menteri takut dengan parti kawannya sendiri, antaranya adalah rakan-rakannya yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini.”

Sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan, Azmin merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Sebagai salah seorang perancang utama Langkah Sheraton, beliau tentunya berharap dapat menjadi Timbalan Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Menteri Kewangan dalam kerajaan Perikatan Nasional. Sebaliknya, beliau “diturunkan pangkat” ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Portfolio ekonomi dipulangkan semula kepada Jabatan Perdana Menteri. Lantikan seorang teknokrat, iaitu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang merupakan seorang pegawai kanan bank ke portfolio kewangan membolehkan Perdana Menteri menguasai Kementerian Kewangan.

Hubungan kuasa baharu

Ketika Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinetnya tahun lalu, gabungan pentadbirannya awal-awal lagi sudah menunjukkan tanda-tanda retak, walaupun ia mengambil masa 17 bulan untuk benar-benar tumbang.

Sepantas kilat UMNO tidak lagi mengakui bahawa ia merupakan sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional walaupun para pemimpinnya menganggotai Kabinet Muhyiddin.

Sehingga saat akhir pentadbirannya, Muhyiddin masih bermati-matian mahu bergayut kepada jawatan Perdana Menteri yang bersifat presiden, menutup Parlimen dengan mengisytiharkan darurat, bertelagah dengan istana, dan menekan parti lawan sesuka hatinya, di samping mengagihkan kontrak dan jawatan dengan niat membeli sokongan.

Perdana Menteri yang baharu ini pula hanya mempunyai sokongan 114 daripada 220 orang Ahli Parlimen. Beliau akan menghadapi cabaran dalaman yang sama seperti Muhyiddin.

Ismail Sabri harus mengambil iktibar kenyataan Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos supaya memastikan tiada lagi politik dominasi, iaitu “yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua”.

Beliau mesti berusaha membuka ruang kompromi politik dalam kalangan barisan kerajaan dan juga pakatan pembangkang. Dengan menginsafi bahawa Perdana Menteri boleh mentadbir walaupun dengan batasan kuasa, ini dapat membantu kita membina institusi dan proses politik yang lebih baik bagi memacu Malaysia ke hadapan.

Dengan tamatnya era Perdana Menteri yang berkuasa seperti presiden, hubungan kuasa baharu dalam kalangan parti-parti politik kerajaan dan semua pemegang taruh perlu dibangunkan, terutamanya dengan pembangkang di Parlimen, pihak istana dan kesemua kerajaan negeri.

Liew Chin Tong

Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP

sumber – awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *