Politik

Kabinet : `Bukan pembahagian rampasan perang’

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

TAN Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Ke-8 bukanlah cara mudah. Beliau mengangkat sumpah menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas seminggu kemelut politik yang berpunca daripada jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tidak kiralah apapun langkah politik yang akan dilakukan oleh PH dengan disokong oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi yang pasti Muhyiddin kini adalah Perdana Menteri yang sah dari segi Perlembagaan.

Cabaran utama dan paling getir bagi anak kelahiran Muar itu ialah membentuk Kabinet – satu pembentukan pasukan mentadbir negara yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat keseluruhannya.

Tidak perlu berdolak-dalik atau cakap berlapik, saya bersetuju seratus peratus dengan pandangan pelbagai pihak yang mahu menyaksikan pemimpin-pemimpin parti kerajaan yang mempunyai kes di mahkamah tidak disenaraikan, termasuklah juga mereka yang sebelum ini berada dalam Kabinet tetapi dilihat gagal menjalankan tugas dengan baik.

Dalam bahasa mudahnya, barisan Kabinet Muhyiddin perlu dilihat berintegriti dan berkredibiliti. Mana-mana pemimpin yang dilihat bermasalah dan boleh menimbulkan masalah tidak harus sama sekali dipertimbangkan biarpun mereka mempunyai kerusi yang agak banyak dalam Perikatan Nasional (PN).

Cukuplah sekali, Kabinet sebelum ini menjadi bahan ketawa rakyat. Macam-macam lawak jenaka muncul dalam media-media sosial menyindir anggota Kabinet pada masa itu.
Muhyiddin perlu membentuk satu barisan Kabinet yang benar-benar mantap dan mewujudkan perasaan teruja kepada rakyat.

Pada masa sama, ahli-ahli politik dalam PN pula jujur dan ikhlas untuk berkorban dengan menyerahkan kepada kebijaksanaan Muhyiddin membentuk pasukan Kabinetnya.

Walaupun perkara ini agak sukar memandangkan kita yakin ada dalam kalangan pemimpin politik yang begitu bernafsu untuk kembali ke Kabinet, tetapi sekarang bukan masa untuk melayan nafsu politik sesiapa.

Ia memandangkan Kabinet Muhyiddin mesti mencerminkan kehendak rakyat kerana merekalah yang akan membuat perhitungan dalam PRU-15 nanti. Kalau ada ahli Parlimen yang mahu merajuk dan mengancam untuk menarik balik sokongan jika tidak terpilih sebagai anggota Kabinet, biarkan sahaja.

Tidak mengapa kalau ditakdirkan Allah SWT, kerajaan Muhyiddin tidak boleh bertahan lama, itu lebih mulia daripada tunduk kepada nafsu segelintir pemimpin politik yang mungkin ada antara mereka tidak serik-serik lagi walaupun pernah kehilangan kuasa.

Inilah masanya untuk pemimpin-pemimpin yang mendabik dada bahawa apa yang mereka lakukan dalam kemelut politik adalah demi rakyat dan negara membuktikan keikhlasan mereka.

Jika benar ikhlas berjuang untuk rakyat, maka mereka tidak akan keberatan menerima apa juga keputusan Muhyiddin dalam membentuk Kabinet – maksudnya pemimpin tersebut perlu jujur menilai diri adakah betul mereka berada dalam kategori `berintegriti dan berkredibiliti’ dan adakah kehadiran mereka tidak akan menjejaskan imej Kabinet PN. Jangan pekakkan telinga dan butakan hati untuk bermuhasabah.

Memang benar, seseorang itu tidak bersalah selagi tidak diputuskan bersalah oleh mahkamah tetapi politik adalah berkaitan persepsi. Persepilah yang menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen pada 2008 dan 2013, dan persepi juga yang `mengkuburkan’ BN dalam PRU-14 selepas 61 tahun memerintah! Tak kanlah fakta ini tidak mahu difahami.

Oleh itu semua pemimpin parti yang mencalonkan nama kepada Muhyiddin perlulah jujur dan ikhlas, biarpun dengan apa yang berlaku dalam kemelut politik baru ini kedua-dua sikap itu seolah-olah semakin terhakis.

Mereka perlu jujur menyenaraikan nama ahli Parlimen yang mampu membantu Muhyiddin memulihkan pentadbiran kerajaan dan mengemukakan calon yang mereka percaya berupaya memberi keyakinan kepada rakyat terhadap kerajaan PN.

Janganlah memeningkan kepala Muhyiddin dengan mendesak nama sendiri waima beliau bertaraf Presiden parti sekalipun atau nama ahli Parlimen tertentu. Pembentukan Kabinet ini bukannya gelanggang untuk `membalas budi’ apatah lagi `membahagi-bahagikan harta rampasan perang’ atau `melepaskan leher’ sesiapa!

Tetapi ia adalah barisan yang akan diletakkan harapan tinggi untuk memulihkan negara. Jika mereka benar-benar berjiwa rakyat, semua ahli Parlimen PN harus akur dengan keputusan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Kabinet PN terutamanya Muhyiddin tidak boleh menghabiskan masa untuk menjelaskan kepada rakyat kenapa seseorang ahli Parlimen yang dilihat bermasalah dilantik.

Sebaliknya, sebaik sahaja mengangkat sumpah ke semua mereka perlu mengorbankan masa dan tenaga untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Tanah air kita yang digembar-gemburkan berada dalam keadaan baik, hakikatnya sedang berhadapan dengan pelbagai masalah tetapi `didiamkan’ ketika PH memerintah.

Semuanya akan terdedah apabila Kabinet PN mula bertugas, tetapi jangan pula berperangai seperti sesetengah menteri PH yang sentiasa sahaja mencari salah kerajaan terdahulu. Lupakan soal politik tumpu kepada usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, itu lebih penting.

Sebab itulah keikhlasan dan kejujuran amat penting dalam kalangan ahli Parlimen yang melontarkan sokongan mereka kepada Muhyiddin. Sudah banyak sandiwara politik yang rakyat saksikan sejak seminggu lalu, jangan biarkan ia berulang lagi. Kalau masih juga berlaku, usah salahkan rakyat, jika ada rakyat menganggap semua ahli politik hanya kemaruk kuasa waima yang disanjung sebagai negarawan sekalipun.

3 Mac 2020
Selepas Subuh
Shah Alam

*Penulis adalah bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia dan kolumnis tetap akhbar yang di tutup pada 9 Oktober 2019 itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *