Boikot Hot FM? Netizen Kecam Khairy, Fara Fauzana & Johan Raja Lawak Sindir Perdana Menteri
Tindakan Khairy Jamaluddin, Fara Fauzana dan Johan Raja Lawak yang seolah-olah menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siaran radio Hot FM pada pagi Isnin mencetuskan kontroversi di media sosial. Pelbagai reaksi, termasuk kecaman keras daripada netizen, menghangatkan perbincangan di platform X.
Pengguna media sosial melabel tindakan mereka sebagai tidak profesional, terutama selepas penyampai radio senior turut mengkritik mereka baru-baru ini. Gurauan yang dikatakan berbaur sindiran terhadap Perdana Menteri itu dianggap tidak sopan dan tidak menghormati audiens.
Seorang netizen menulis, “Sangat tidak profesional. Tindakan memerli Perdana Menteri di radio, walaupun dianggap sebagai gurauan, adalah tidak beradab. Sakan bergelak ketawa, sampai lupa adab budi bahasa.”
Kecaman tersebut turut disambut oleh pengguna lain yang menyatakan rasa kecewa terhadap tindakan tiga penyampai tersebut. “Perdana Menteri negara aku yang engkau orang gelakkan. Perdana Menteri Malaysia, tolong faham sikit,” tulis seorang lagi netizen yang marah.
Tidak berhenti di situ, Moliqus, salah seorang pengguna platform X, mengeluarkan komen pedas dengan menyindir keras ketiga-tiga penyampai radio itu. “Teguran mende dengan perempuan tak laku gila meroyan @REALFAFAU & johan lawak bodoh macam tapir, yg sekor ular tu tak payah cakaplah memang hanat.”
Walaupun pihak Hot FM telah menurunkan video yang menyindir Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kecaman, beberapa netizen mencadangkan supaya rakyat Malaysia memboikot stesen radio milik Media Prima tersebut. Menurut Rahah Ghazali, “Balasan dari Allah Ta’ala itu pasti. Apa yang kita lakukan akan kembali kepada kita. Mereka caci & ejek pemimpin yang menjalankan amanah, tengok saja nasib mereka kemudian hari.”
Adakah Gurauan Boleh Dianggap Batasan?
Isu ini menimbulkan persoalan penting: di manakah batas antara hiburan dan penghinaan? Walaupun penyampai radio sering menyelitkan gurauan dalam penyampaian mereka, namun dalam hal yang melibatkan pemimpin negara, ia perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati. Tindakan Khairy, Fara Fauzana, dan Johan Raja Lawak jelas memperlihatkan bahawa tidak semua gurauan dapat diterima oleh masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu yang dihormati seperti Perdana Menteri.