
KUALA LUMPUR: Seramai 1,089 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, bermula esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan bantuan Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman.
Beliau berkata, penugasan juga melibatkan unit dalam PDRM termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
“Ketibaan Presiden China akan menginap di sebuah hotel di Putrajaya. Antara penugasan utama sepanjang menginap di hotel berkenaan, jalan akan ditutup sepenuhnya, di lebuh raya kiri dan kanan dalam tempoh antara 30 hingga 40 minit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur hari ini.
Rusdi berkata, sebarang ancaman keselamatan tetap menjadi keutamaan polis memandangkan ia adalah lawatan ketua negara asing paling berprofil tinggi ke negara ini.
“Risiko boleh berada di mana-mana sahaja, namun pasukan kami bersiap siaga sepenuhnya bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang lawatan ini.
“Lawatan ini juga mencatat sejarah penting dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan China,” katanya.
Semalam, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan 17 laluan dikenal pasti akan mengalami penutupan sementara antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada pergerakan delegasi China.