
KUALA LUMPUR: Malaysia muncul negara pertama di rantau Asia Tenggara menerajui Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang bertujuan meningkatkan modal insan pasaran kerja, bersempena peranan penting Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Ketua Setiausha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof berkata tiga aspek yang diberi penekanan meliputi tujuan memperkasakan tenaga kerja dengan pelbagai kemahiran penting pada masa akan datang, mempersiapkan golongan belia berdaya saing dan terus memastikan industri kekal inovatif.
“Menerusi AYOS 2025, kementerian akan memastikan tiada mana-mana tenaga kerja yang akan dipinggirkan, sebaliknya semua pihak termasuk kerajaan, pemain industri dari sektor awam dan swasta sama-sama terlibat dalam membina pasaran tenaga kerja ASEAN yang serba boleh untuk masa akan datang.
“Justeru, lima objektif utama telah direncanakan seperti merapatkan jurang kemahiran sedia ada di seluruh negara anggota, menggalakkan mobiliti buruh dan memastikan pertumbuhan tenaga kerja berdaya saing dalam setiap komuniti.
“Ia juga bagi mengukuhkan lagi kerjasama serantau serta meningkatkan perkongsian dalam sektor awam dan swasta untuk mempersiapkan pasaran tenaga kerja berdaya saing,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Tahun Kemahiran ASEAN 2025 yang diadakan di Nexus Bangsar South, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood.
Inisiatif pembangunan modal insan serantau yang diterajui KESUMA melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sudah merancang pelbagai aktiviti selamat tempoh setahun melibatkan pembabitan semua anggota ASEAN untuk memperkasa bakat dan tenaga kerja serantau.
“AYOS 2025 disusun dengan teliti yang melibatkan banyak aktiviti pembangunan kemahiran dan latihan pembelajaran sepanjang hayat di seluruh ASEAN secara terbuka dan disertai individu daripada semua latar belakang.
“Bertemakan ‘Merapatkan Bakat, Membina ASEAN’, AYOS 2025 turut mendapat kerjasama daripada Sektretariat ASEAN dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi rantau Asia Pasifik dengan bertujuan meningkatkan kemahiran tenaga kerja,” katanya.
Dalam majlis itu, turut diperkenalkan koordinator setiap negara ASEAN yang mengambil bahagian seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Laos, Vietnam, Timor Leste, Filipina dan Myammar.