
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan tanpa syarat sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen kawasan itu telah diserahkan secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul semalam.
“Peletakan jawatan itu berkuat kuasa hari ini. Saya dah berjumpa dengan Tan Sri Speaker semalam dan telah pun menghulurkan surat letak jawatan.
“Kami bertemu pada 3 petang semalam untuk menyerahkan tugas, dan sebagai satu penghormatan kepada institusi perundangan kita,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Khidmat Parlimen Petaling Jaya, di sini yang turut dikongsikan di laman Facebook beliau.
Meskipun melepaskan jawatan wakil rakyat, Lee berkata Pusat Khidmat Parlimen Petaling Jaya akan terus beroperasi seperti biasa untuk berkhidmat kepada penduduk setempat.
Lee berkata beliau juga akan mengemukakan surat rasmi untuk keluar daripada PKR pada Isnin ini, namun tetap menyatakan penghargaan kepada parti itu kerana memberikan peluang kepadanya selama ini.
“Saya berterima kasih kepada PKR atas peluang sepanjang 18 tahun ini, dan kepada rakan-rakan seperjuangan yang masih percaya pada politik bersih, reformasi institusi dan sebuah Malaysia yang meraikan kepelbagaian,” katanya.
Pada 30 Sept lepas, Lee menerima keputusan bahawa keahliannya dalam PKR digantung selama tiga tahun. – BERNAMA






