KOTA KINABALU : Bekas calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, Mohd. Ismail Ayob atau Miha, dipilih untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Menurut Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin, pemilihan tersebut mencerminkan komitmen BN Sabah untuk mengetengahkan pendekatan calon perpaduan dalam menentukan wakil parti bagi PRK berkenaan.
“Pendekatan itu selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri.
“Berteraskan pertimbangan tersebut, BN Sabah akan mencalonkan Mohd. Ismail sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus (direct membership) BN,” katanya ketika berucap pada majlis bersama media di Bangunan UMNO Sabah, di sini hari ini.
Tambah beliau, pencalonan itu merupakan strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama yang lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik.
Beliau turut mengakui langkah tersebut juga merupakan usaha untuk meredakan suhu politik di negeri ini.
