
KUALA LUMPUR: Sebarang penganjuran majlis agama atau upacara tertentu bagi golongan bukan Islam, jelas tidak memerlukan kehadiran mana-mana orang Islam, kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, ia kerana tiada keperluan dan bercanggah dengan prinsip syariat Islam.
“Jika perlu sekalipun, ia mestilah dijustifikasikan kepada orang Islam tertentu dan atas keperluan tertentu serta dengan mengikuti adab-adab tertentu sebagai seorang Muslim, seperti mana ditetapkan dalam Fiqh Hubungan Antara Agama.
“Secara umum, seseorang Muslim berpegang kepada konsep ‘lakum dinukum wali yadin’ (Bagi kamu agama kamu, bagi aku agama aku). Ini bermakna seorang Muslim tidak boleh mengiktiraf, meraikan atau mengikuti mana-mana upacara ibadat bukan Islam atas apa jua alasan sekalipun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mujahid yang merupakan Ahli Dewan Negara menjelaskan, majlis bukan Islam yang dihadiri orang Islam hanyalah bersifat budaya, sosial dan campuran agama, kebudayaan atau sosial.
Beliau berkata, penegasan perkara itu bukan bermakna seorang Muslim tidak menghormati apa saja upacara yang hendak dilakukan jika ia adalah tuntutan daripada agama itu atas konsep ‘La ikraha fid Din.’
“Secara siasah syariah, panduan adab Muslim dalam hubungan bukan Islam juga ditentukan oleh undang-undang dalam negara dan keperluan mana-mana pemimpin Muslim untuk hadir dalam maslahah yang lebih besar, dengan tetap berakhlak menepati adab-adab seorang Muslim.
“Pihak bukan Islam seharusnya turut memahami kehendak ini dan lebih sensitif untuk tidak melanggar batasan ini.
“Kita perlu memahami dalam konteks hubungan antara agama, ada ruang eksklusif dilarang dan ruang inklusif diharuskan, serta memahami ruang keperluan serta ketidakperluan. Dalam semua keadaan, syariat Islam menyediakan adab dan akhlak mulia,” katanya.
Beliau berkata, niat suci penggubalan garis panduan bagi mana-mana Muslim untuk berada dalam majlis bukan Islam, seharusnya tidak diragui sama sekali kerana ia panduan dan bukan bersifat perundangan atau penguatkuasaan.
“Hingga kini, garis panduan itu hanya diketahui melalui kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri tanpa memperincikan apa yang terkandung dalam garis panduan berkenaan.
“Hingga garis panduan itu didedahkan kepada umum, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau hipotesis yang berkemungkinan boleh mencetuskan polemik hubungan antara kaum dan agama dalam negara ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kabinet akan membincangkan cadangan garis panduan khususberkaitan pembabitan orang Islam dalam sebarang upacara, termasuk di rumah ibadat bukan Islam.
Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memuktamadkan garis panduan khusus berkaitan pembabitan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dipetik berkata garis panduan itu akan diperkenalkan supaya pembabitan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.