
KUALA LUMPUR: Keputusan Shell untuk melabur dengan jumlah yang tinggi di negara ini disifatkan sebagai strategik dan selari dengan pelaksanaan dasar-dasar baharu kerajaan yang jelas memberi nafas segar kepada sektor perindustrian dan tenaga.
Pakar ekonomi, Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, antara polisi baharu yang diketengahkan kerajaan seperti dasar alih guna tenaga baharu, dasar automotive dan induk perindustrian mewujudkan momentum kepada penggunaan sumber bahan api dan gas asli secara optimum dalam jangka Panjang.
Katanya, keupayaan itu secara tidak langsung memberi keyakinan kepada Shell untuk melabur dalam jumlah yang tinggi dalam tempoh tiga hingga lima tahun dari sekarang.
“Dasar-dasar dan polisi ini sudah disusun atu secara sistematik dari segi pelaksanaannya dengan objektif, misi serta visi yang jelas,” katanya kepada Ceritera.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Shell bakal menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Perkembangan itu dimaklumkan Perdana Menteri menerusi kenyataan selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan bersama delegasi di Bangunan Parlimen di sini, baru-baru ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Sawan turut menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju negara.
Ditanya mengenai adakah keyakinan Shell itu menunjukkan ekonomi negara semakin pulih, bashir Ahmad berkata, keadaan ekonomi Malaysia masih dipengaruhi keadaan dan trend ekonomi dunia atau global serta dipacu dengan kerancakkan ekonomi domestik.
“Walaupun 2025 menjanjikan cabaran lebih jitu terutama dari segi perang tarif serta beberapa peperangan antara negara, namun, dasar tidak campur tangan serta dasar diplomatik yang diamalkan serta penumpuan kepada pertumbuhan ekonomi domestik memberi Malaysia satu kelebihan dari segi pelaksanaan pentadbiran yang bersifat merit dan mutlak,” katanya.
Bashir Ahmad juga menyatakan, inisiatif yang dilakukan kerajaan ketika ini membantu dalam meningkatkan tahap ekonomi negara.
Katanya, dengan kemasukan Shell menerusi pelaburan besar akan memberi anjakan paradigma kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui kewujudan pelbagai lapisan peluang pekerjaan separa mahir dan mahir sepenuhnya.
“Apabila semua peluang itu diwujudakan, ia berupaya berupaya menjana pendapatan negara lebih tinggi dari kutipan hasil cukai yang bertambah serta mewujudkan satu elemen daya saing dan kompetetif kepada pemain-pemain dalam industry, sekali gus berupaya meningkatkan pengeluaran serta produktiviti negara.
“Ini adalah amat penting melihat kepada hasrat negara Malaysia yang mensasarkan untuk menjadi satu daripada negara maju dalam tempoh jangka masa sederhana yang disasarkan,” katanya.





