Peletakan jawatan ‘orang baik pakcik, makcik’ pembuka rombakan Kabinet?
SELASA lalu, Malaysiakini muncul dengan laporan hasil tinjauan dalam talian mengenai penilaian kesemua 28 Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dr. Maszlee Malik, berada di tangga kedua tercorot.
Petang tadi, kira-kira pukul 4.30 petang (2 Januari 2020), Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mengumumkan peletakan jawatan selaku Menteri Pendidikan.
“Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, Internet sekolah dan isu sarapan percuma.
“Di atas nasihat YAB Perdana Menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, saya dengan taat setia dan reda walaupun berat, dengan nasihat ayahanda Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 3 Januari 2020 (esok).”
Demikian antara intipati ucapan beliau ketika mengumumkan untuk meletak jawatan tersebut.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan pula memaklumkan, pengganti Maszlee akan ditentukan dalam sedikit masa lagi.
Persoalannya, berat sangatkah isu tulisan Jawi atau isu-isu lain yang dinyatakan itu untuk ditanggung sehingga memaksa beliau meletak jawatan?
Selaku orang yang ‘lantang berjuang’ ketika pilihan raya umum ke-14 lalu sehingga diuar-uarkan ‘orang yang baik, pakcik, makcik’, begitu mudah mengalah.
Apakah laporan Malaysiakini itu membuatkan beliau rasa malu dan meletak jawatan? Kerana, pengumuman tersebut terlalu ‘tiba-tiba’ dan mengejutkan.
Namun kalau mengikut apa yang dilaporkan Malaysiakini itu, rasa-rasanya akan berlaku rombakan besar-besaran Kabinet Perdana Menteri selepas ini.
Siapa pengganti Maszlee? Ada yang sudah mula menyebut nama bekas menteri yang telah menjadi ahli Bersatu. Betulkah? Tunggu sahaja pengumuman Dr. Mahathir.
Apapun, terima kasih Dr. Maszlee atas khidmat sebagai Menteri Pendidikan sepanjang 20 bulan ini.
Tapi, sehingga ke detik 3 Januari 2020, apa-apa boleh berlaku.