
Oleh MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR, ESWADI ISHAK dan METRA SYAHRIL MOHAMED
DILANTIK sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu My Jet Xpress Airlines berkuat kuasa 1 November lalu, Azrul Hisham Dato’ Abdul Wahab punyai visi tersendiri.
Mahu membawa My Jet sebagai pemain utama industri pengangkutan kargo yang lebih efisien, My Jet dengan motto ‘The Way To Go’ juga memfokus kepada menerokai sektor global.
Biarpun ketika ini mempertaruhkan dua pesawat dengan kekuatan 50 tenaga kerja termasuk juruterbang dan jurutera, My Jet yakin dapat memenuhi keperluan pelanggan.

Menurut Azrul Hisham, perkara tersebut disandarkan kepada kekuatan My Jet iaitu reliability atau kebolehpercayaan.
“Itulah satu kekuatan utama kami (My Jet). OTP atau on-time performance (ketepatan masa penerbangan) My Jet kepada pelanggan bagi tempoh dua ke tiga tahun ini hampir 100 peratus.
“Kekuatan tersebut sangat penting untuk industri ini. Bila orang percaya kita dan performance sentiasa didahulukan, itu kriteria penting,” katanya ketika ditemu bual secara eksklusif oleh tim Ceritera di pejabatnya di Bandar Pinggiran Subang, Selangor baru-baru ini.

Menceritakan sedikit sebanyak mengenai perjalanan My Jet selama ini, Azrul Hisham memberitahu, syarikat penerbangan itu mula ditubuhkan pada 2009 atas nama Neptune Air.
“Pada tahun lalu, kita mengambil langkah melakukan pembaharuan selain rebranding (penjenamaan semula) dengan nama My Jet Xpress Airlines Sdn. Bhd. (My Jet).
“Enam bulan selepas tukar nama, kita diberi kelulusan oleh kerajaan sebagai salah sebuah syarikat penerbangan kargo berjadual,” jelasnya.

Beliau menambah, selain daripada E-commerce, My Jet turut memenuhi keperluan pengangkutan kargo bagi industri minyak dan gas serta penerbangan ihsan.
My Jet juga jelasnya, melakukan penerbangan mengangkut haiwan khususnya kuda di Brunei bagi sukan polo.
Malah katanya, syarikat penerbangan itu menjalin banyak kerjasama global seperti Lufthansa dan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa.

MENGINTAI PELUANG 2020
Memasuki tahun 2020, bagi Azrul Hisham, sememangnya cukup mencabar dan beliau mengharapkan pasaran global akan menjadi lebih harmoni serta meningkat.
Hal demikian kerana jelasnya, My Jet mahu memfokuskan pasaran global khususnya China dengan jangkaan penambahan pesawat baharu pada Jun dan penghujung tahun.
My Jet kini beroperasi melalui hab Pulau Pinang untuk pasaran ke Singapura selain hab Kuala Lumpur bagi memenuhi pasaran ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Selain itu, perkhidmatan kita mencakupi tempahan khas ke mana-mana destinasi.
“Market lain kita kekalkan cuma kalau untuk sektor Sabah, Sarawak dan Labuan, jika terdapat sambutan lebih baik dan keperluan kepada penambahan kekerapan penerbangan, kita akan usahakan,” katanya yang sudah lebih 15 tahun berkecimpung dalam industri penerbangan.