
JAKARTA: Kapten Harimau Malaya Dion Cools mengakui kecewa apabila skuad negara gagal meraih tiga mata penuh selepas sekadar seri tanpa jaringan berdepan Indonesia dalam aksi Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini, malam tadi.
Cools berkata Malaysia jelas menguasai permainan terutama pada babak kedua dan sepatutnya memperoleh keputusan lebih baik ketika bertemu tuan rumah, Indonesia yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama kira-kira 70 minit selepas pemain tengah Thom Haye dilayangkan kad merah.
Namun, pertahanan Cerezo Osaka FC itu menegaskan satu mata yang diraih tidak membawa banyak makna sekiranya Malaysia gagal memperoleh keputusan diperlukan ketika menentang Singapura dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis ini.
“Saya amat bangga dengan persembahan pasukan tetapi pada masa sama sedikit kecewa dengan keputusan ini. Saya rasa kita menguasai permainan, terutama pada babak kedua. Sudah tentu kita mahu meraih tiga mata tetapi malangnya hanya satu mata diperoleh, namun segala-galanya masih terbuka.
“Pada perlawanan seterusnya, kita perlu mendapatkan keputusan yang positif menentang Singapura. Kita tahu ia akan menjadi perlawanan sangat sukar, tetapi kita yakin mampu melakukannya.
“Jadi, kita perlu membuat persiapan rapi dan menjalani proses pemulihan dengan sebaiknya, dan selepas itu kita mempunyai peluang cerah untuk beraksi di final,” katanya kepada pemberita selepas Malaysia seri 0-0 dengan Indonesia.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata Malaysia perlu menghormati kekuatan Singapura, namun pada masa sama kekal yakin dengan kemampuan pasukan dalam usaha memburu jaringan yang banyak untuk terus bersaing merebut tempat ke final.
“Atas kertas, sudah tentu itulah perancangannya (menjaringkan sebanyak mungkin gol), tetapi kita tahu Singapura adalah lawan yang sangat sukar. Jadi, kita perlu menghormati mereka, namun pada masa sama perlu bermain dengan kekuatan sendiri.
“Kita perlu mengambil keyakinan daripada perlawanan hari ini (malam tadi) dan meneruskan momentum itu. Diharapkan pada perlawanan seterusnya kita dapat menjaringkan banyak gol dan memastikan tempat ke final,” katanya.
Cools berkata aspek pemulihan bakal menjadi perkara utama memandangkan pasukan hanya mempunyai tempoh singkat sebelum bertolak ke Bandung.
Malaysia kini mendahului Kumpulan A dengan empat mata, berkongsi jumlah mata dengan Indonesia di tangga kedua tetapi memiliki kelebihan perbezaan jaringan, manakala Singapura di tempat ketiga dengan tiga mata dan Bangladesh kekal tercorot tanpa sebarang mata.
Pada edisi sulung kejohanan itu, juara kumpulan akan mara ke final manakala naib juara akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga, dengan kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung di GBK, Isnin depan. – BERNAMA





