
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memberi fokus kepada kegiatan kelab-kelab malam yang disyaki menjadi lokasi baharu aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di seluruh negara.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, hal itu kerana penggunaan premis terbiar dan kawasan terpencil untuk aktiviti jenayah dadah kini tidak lagi relevan.
Tambahnya, pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat kelab malam tertentu bertindak sebagai sarang baharu bagi aktiviti dadah.
“Kami mempunyai maklumat sahih bahawa beberapa kelab malam di seluruh negara telah berubah fungsi menjadi sarang dadah versi baharu.
“Kelab-kelab itu bukan sahaja menjadi tempat penagih berkumpul, malah turut digunakan untuk mengedar pelbagai jenis dadah sintetik,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini semalam.
Menurutnya, antara dadah yang sering diedarkan termasuk methamphetamine, ekstasi, ketamin, heroin dan ganja.
Tambah beliau, aktiviti itu bukan sahaja tertumpu di Lembah Klang, malah dikesan berlaku di negeri-negeri lain.
“Kita sudah mengenal pasti kelab-kelab malam yang terlibat dan operasi bagi membanteras kegiatan ini sedang dirancang. Ia hanya menunggu masa untuk dilaksanakan,” katanya.