
SUBANG JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat aktiviti mengorek tanah dilakukan berhampiran lokasi letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini, pada 30 Mac lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kerja pengorekan tanah itu adalah punca kejadian terbabit.
Beliau berkata, terdapat tiga unsur yang mungkin mendorong insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights itu membabitkan gas, udara dan percikan api.
“Kerja mengorek tanah dibuat bagi menggantikan paip kumbahan, terletak kira-kira 30 meter dari lokasi letupan. Namun, kita belum mengenal pasti sama ada mereka turut membuat kerja pada hari pertama Aidilfitri atau sebaliknya.
“Berdasarkan keterangan saksi, eskavator yang dilihat pada hari terbabit dikatakan mahu dibawa keluar dari tapak projek, tetapi mereka dikatakan tidak sempat berbuat demikian.
“Terdapat tiga paip gas natural yang membawa bahan berkenaan dari Terengganu ke selatan dan utara Semenanjung serta Thailand,” katanya dalam sidang media.
Ketika kejadian katanya, satu daripada tiga paip terbabit dikesan pecah, menyebabkan kebocoran gas yang mengakibatkan letupan terbabit.
Tambahnya, setakat ini seramai 56 saksi sudah dipanggil untuk menjalani sesi rakaman percakapan bagi membantu siasatan insiden berkenaan.