
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan notis ketidakpatuhan atau surat amaran kepada premis gagal mematuhi larangan pameran produk merokok di kaunter jualan.
Menterinya, Dzulkefly Ahmad, berkata penguatkuasaan secara berfasa sedang berlangsung sehingga 1 Oktober ini.
“Penguatkuasaan berfasa masih lagi berlangsung dan sekiranya berlaku ketidakpatuhan, kementerian akan mengeluarkan notifikasi atau surat amaran kepada pihak terbabit,” katanya selepas Majlis Penyerahan Mesin Automated External Defibrillator di Putrajaya.
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 bersama peraturan dan perintah berkaitan dikuatkuasakan mulai 1 Okt 2024. Ia merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.
Perintah larangan itu membabitkan 51,000 kedai menjual produk merokok di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, satu sesi libat urus dengan Persatuan Perubatan Malaysia berkaitan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP) terhadap fasiliti penjagaan kesihatan swasta akan diadakan dalam masa terdekat.
Pemaparan harga ubat akan dikuatkuasakan 1 Mei ini melalui perintah bawah AKHAP.
Seksyen 10 AKHAP memperuntukkan kuasa menteri untuk menghendaki barang atau perkhidmatan ditanda dengan harga.