
KUALA PILAH: Seorang peniaga kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada isterinya dengan menggigit mangsa minggu lalu.
Kosmo melaporkan Lee Jia Cheng, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.
Dia didakwa sengaja menggigit dahi, tangan dan bahu isterinya yang juga berusia 32 tahun, kira-kira 3.20 pagi 1 April lalu di sebuah rumah di taman perumahan Kuala Pilah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahana Athirah Yaccob memohon tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam dan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Katanya, tertuduh tidak ditawarkan jaminan bagi mengelakkan dia mendekati mangsa yang tinggal di rumah sama.
Tetapi, Lee yang tidak diwakili peguam memohon diberikan jaminan kerana mempunyai tanggungan isteri, ibu bapa serta anak berusia dua tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa, saksi atau pihak ketiga, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Mei ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita nekad membuat laporan polis selepas digigit suaminya yang mabuk di sebuah rumah pada awal pagi 1 April lalu.
Mangsa hanya mahu dikenali Low dilaporkan berkata, itu kali ketiga dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga selepas kejadian pertama serta kedua pada 2022 dan tahun lalu.