
KUALA LUMPUR: Bulan Rejab menjadi antara salah satu bulan mulia dalam kalendar Islam khususnya bagi jemaah yang berhasrat menunaikan ibadah umrah meskipun ia bukan sebahagian daripada musim haji.
Wakil Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd berkata, Rejab merupakan satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan dalam Islam selain Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam.
Menurutnya, kedudukan istimewa itu menjadikan Rejab sering dikaitkan dengan peningkatan amalan ibadah, termasuk puasa sunat, sedekah serta kunjungan ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah.

“Menurut para ilmuwan, walaupun tiada dalil khusus menetapkan kelebihan umrah pada bulan Rejab berbanding bulan lain, amalan tersebut tetap dibenarkan dan tergolong dalam ibadah yang sangat dituntut.
“Populariti Rejab sebagai bulan umrah lebih bersandarkan kepada tradisi umat Islam sejak sekian lama yang melihatnya sebagai masa persediaan rohani menjelang Ramadan,” katanya.
Menurut Andalusia, selain faktor spiritual, Rejab turut menjadi pilihan kerana suasana di Tanah Suci yang lazimnya lebih terkawal berbanding musim puncak seperti Ramadan dan musim haji.
Katanya, ia memberi peluang kepada jemaah untuk beribadah dengan lebih tenang dan selesa.

“Peningkatan permintaan pakej umrah pada bulan Rejab juga didorong kesedaran umat Islam untuk memanfaatkan bulan-bulan mulia dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Bagi sesetengah jemaah, umrah di bulan Rejab dilihat sebagai langkah awal membersihkan jiwa dan memperkukuh disiplin ibadah sebelum memasuki bulan Ramadan.,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, umat Islam diingatkan agar tidak mengaitkan kelebihan tertentu yang tidak bersandarkan dalil sahih dengan bulan Rejab.
Katanya, penumpuan perlu diterjemahkan kepada penghayatan ibadah secara sederhana dan berterusan, selaras ajaran Islam yang sebenar.







