MANCHESTER: Gol masa kecederaan, Enzo Fernandez membantu Chelsea mengikat Manchester City 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, awal pagi tadi
Keputusan seri tersebut sekali gus menjejaskan pemburuan kejuaraan pasukan kendalian Pep Guardiola untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Arsenal.
Tijjani Reijnders meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-42 apabila menewaskan penjaga gawang Chelsea, Filip Jorgensen.
City kehilangan dua tonggak pertahanan tengah, Josko Gvardiol dan Ruben Dias, akibat kecederaan selepas rehat ‘dihukum’ Fernandez yang meledak gol penyamaan pada minit ke-94.
Dalam pada itu, pengendali sementara Chelsea, Calum McFarlane memuji semangat juang pasukan yang akhirnya dibalas dengan gol penyamaan Fernandez dalam masa kecederaan.
Dia turut memuji kepimpinan kapten Reece James, Tosin Adarabioyo dan Fernandez sepanjang minggu yang mencabar buat kelab.
McFarlane, yang merupakan ketua jurulatih skuad bawah 21 tahun Chelsea, diberi tanggungjawab mengejut susulan perpisahan kelab dengan Enzo Maresca tiga hari sebelum perlawanan berikutan keputusan kurang memberangsangkan.
The Citizens kini menduduki tangga kedua liga ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Arsenal.
