
CYBERJAYA 16 Jan. – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof melahirkan rasa kecewa apabila masih ada pihak yang berterusan mentertawakan satu inovasi iaitu mewujudkan kereta terbang.
Malah jelasnya, kekecewaan itu bertambah apabila ‘tukang ketawa’ itu banyak menghabiskan masa di media sosial ‘menghentam’ projek berkenaan sedangkan bangsa lain beratur untuk berdaftar sebagai pembuat atau pembekal kereta terbang.
“Kerajaan dengan saranan saya di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Kabinet telah setuju untuk mewujudkan Unit Perolehan untuk barang-barang dan mesin melibatkan air mobility.
“Saya amat kecewa kerana kita masih lagi bermain di media sosial, tak faham simentik yang kita bawa. Tapi itulah dia, saya sebagai menteri bertanggungjawab untuk memastikan kefahaman diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pra pelancaran Go Eat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Go Eat, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman serta Pengasas Bersama Go Eat, Fikry Ibrahim.
Go Eat merupakan aplikasi penghantaran makanan secara dalam talian yang 100 peratus dibangunkan anak tempatan.
Aplikasi itu mula dibangunkan pada 16 April tahun lalu, Go Eat meletakkan sasaran jumlah muat turun sehingga sejuta orang dalam tempoh enam bulan operasi.


Mohd. Redzuan yang mesra disapa Pak Wan memberitahu, jika ketika ini Go Eat menggunakan khidmat ribuan penghantar makanan, mungkin satu hari nanti perkhidmatan tersebut akan dilakukan melalui ‘mesin terbang’ atau ‘kereta terbang’.
“Itu faedah untuk swasta. Dari sudut kerajaan, kita boleh menggunakan ‘kereta terbang’ ini untuk mengawal sempadan, mengumpul data atau pemantauan pesisir pantai.
“Itu tujuannya kalau kita faham. Untuk membangunkan usahawan-usahawan dari sudut berkecimpung dalam usaha-usaha kejuruteraan, untuk mereka dihubungkan dengan pakar supaya memberi kesejahteraan kepada kita,” katanya.
Beliau berkata, dua hari lalu dua anak muda dari Singapura dan seorang dari Jerman bertemu dengannya bagi menerokai bentuk kemudahan sistem pengangkutan dari Johor Baharu ke Singapura melalui teksi terbang.
Terdahulu, Khairil Muzamil menjelaskan, aplikasi Go Eat merupakan aplikasi penghantaran makanan yang pertama dibangunkan anak tempatan yang mempunyai platform untuk vendor danm home cook.

Menurutnya, Go Eat mampu menghasilkan 8,000 hingga 10,000 peluang pekerjaan serta membuka ruang perniagaan kepada masyarakat.