
MEKAH: Para peserta program umrah percuma anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (ATTSB) dengan kerjasama Masjid Imanul Fa’izin, Melor, Kelantan menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Kebanyakan peserta merupakan pertama kami menunaikan umrah dan pengalaman yang diperoleh di Mekah dan Madinah sukar diungkapkan.
Bagi Nik Murni Shaifudin, peluang menjejakkan kaki pertama kali ke Tanah Suci tidak akan dilupakan.
Katanya, peluang itu digunakan sebaik mungkin untuk beribadah dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah.
“Alhamdulillah, akhirnya saya dan rakan-rkan dapat juga menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Terima kasih diucapkan kepada Andalusia kerana beri peluang keemasan kepada kami.
“Kami berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan dating supaya lebih ramai anak muda berpeluang menunaikan umrah,” katanya.
Peserta program itu dipilih berdasarkan komitmen mereka dalam solat berjemaah selama 30 hari tanpa gagal (90 waktu) melibatkan solat Maghrib, Isyak, dan Subuh di Masjid Imanul Fa’izin.
Kumpulan pertama ini terdiri daripada 65 peserta (36 lelaki dan 29 perempuan), lima orang pengiring dari urusetia Masjid Imanul Fa’izin, serta dua orang mutawwif yang akan membimbing peserta sepanjang umrah selama 12 hari 10 malam.
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Imanul Faizi, Nik Saiful Adli Burhan berkata, program itu diharap dapat menjadi titik tolak kepada anak muda untuk terus mengimarahkan masjid, tidak hanya di Kelantan, tapi di seluruh negara.
Katanya, kita mahu hasilkan generasi muda yang rajin menunaikan suruhan Allah SWT tanpa mengharapkan sebarang balasan duniawi.
“Kita mahu rajin tunaikan perintah Allah SWT demi meraih saham akhirat, bukan balasan duniawi semata-mata.
“Kita mahu anak muda ini, selepas balik dari umrah pun kita mahu mereka terus rajin solat berjemaah terutamanya di masjid,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi Eksekutif ATTSB, Datuk Md Daud Che Ngah, berkata program ini bertujuan menarik minat anak muda Kelantan untuk mengimarahkan masjid dan mendalami asas kerohanian serta ilmu fardhu ain sebelum menunaikan ibadah di Tanah Suci.
“Program ini diadakan sebagai langkah menyemai kecintaan kepada masjid dan membentuk golongan muda yang lebih berilmu serta beristiqamah dalam ibadah. Ia juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami untuk mendekatkan anak muda kepada Islam,” katanya