
Situasi politik negara kini dibelenggu politik kebencian yang menebal, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini menyebabkan segala keputusan dan tindakan kerajaan yang berasaskan fakta sering diserang dan dijadikan isu politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Tidak ambil gaji dihina, banteras rasuah dihina, baik dengan Hamas pun dihina. Dengan BlackRock pun dia kata ejen Yahudi,” katanya ketika berucap di hadapan 700 kakitangan Perbendaharaan dan agensi Kementerian Kewangan.
Perlu Fokus Pada Tugas Negara
Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa politik kebencian tidak seharusnya mengganggu tugas penjawat awam dalam melaksanakan amanah masing-masing demi negara. Beliau memberi contoh serangan peribadi yang sering diterimanya di media sosial dan ucapan-ucapan pembangkang, termasuk gelaran seperti “Dajjal”, “ejen Israel”, dan “ejen Yahudi”.
“Saya seringkali jawab sikit-sikit tapi saya tak peduli kerana saya fikir kita punyai tugas. Yang dilontarkan hanya kebencian, fakta tidak dipedulikan sama sekali,” kata Anwar.
Beliau juga menegaskan bahawa penjawat awam perlu fokus pada tugas mereka dan tidak terpengaruh dengan kebencian yang dilemparkan.