
KUALA LUMPUR 7 Dis. – Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) memperoleh keuntungan pelaburan terkumpul berjumlah RM151.50 juta setakat sukuan ketiga tahun ini.
Prestasi tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 25.9 peratus berbanding RM120.33 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengamalkan kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif.

PTPTN dalam satu kenyataan memberitahu, pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang berjaya mengurangkan tekanan daripada pasaran ekuiti yang tidak menentu di peringkat global.
“Pada tahun lalu, PTPTN telah berjaya mengagihkan dividen SSPN pada kadar 4 peratus kepada 3.52 juta akaun melibatkan peruntukan berjumlah RM118.61 juta. Berdasarkan kepada prestasi tahun semasa, PTPTN menjangkakan dapat meningkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar pemberian dividen tersebut.
“Untuk rekod pencapaian SSPN bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah deposit adalah sebanyak RM581.83 juta berbanding RM486.92 juta pada tempoh yang sama tahun lalu,” jelas PTPTN.
PTPTN menambah, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM94.91 juta atau 19.5 peratus, sekali gus menjadikan deposit SSPN terkumpul keseluruhan sehingga September ini berjumlah RM4.65 bilion.
PTPTN mengunjurkan jumlah deposit bagi tahun ini adalah sebanyak RM1.30 bilion berbanding RM1.13 bilion pada tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus.
Unjuran tersebut berasaskan kepada pencapaian positif yang dipacu menerusi langkah berterusan promosi galakan penabungan yang dilaksanakan sepanjang tahun di seluruh negara seperti program Jelajah SSPN, Minggu Menabung dan Gerak Gempur Skim Simpanan (2G2S).
Jelas PTPTN, di samping itu, unjuran tersebut disumbangkan oleh kenaikan jumlah insentif pelepasan taksiran cukai dari RM6,000 kepada RM8,000 seperti yang diumumkan Menteri Kewangan menerusi Bajet 2019.
SSPN merupakan instrumen simpanan yang dijamin sepenuhnya oleh kerajaan serta produk patuh syariah yang menggunakan konsep ‘Wakalah Bil Istithmar’ di samping menawarkan pelbagai keistimewaan lain seperti geran sepadan dan perlindungan takaful.
Dengan pelbagai keistimewaan dan insentif yang ditawarkan serta kesedaran masyarakat berkenaan penabungan bagi tujuan pendidikan, sehingga 30 September ini sebanyak 347,709 akaun baharu SSPN telah dibuka dan dijangka terus meningkat hujung tahun ini.
Secara keseluruhan, sehingga akhir suku ketiga 2019, sebanyak 4.26 juta akaun SSPN telah dibuka sejak dilancarkan pada 2014.