
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
(Yang mengikuti istiadat pengukuhan Lembaga Kesultanan Siak dan pemberian anugerah gelar adat di Siak Sri Indrapura, Riau, Indonesia, baru-baru ini)
“Tanda tak dalam airnya beriak, Bersama kita mendayung sepeda,
Kita lestarikan Kesultanan Siak, Sebab merupakan aset bangsa dan negara.”
Itu pantun yang dibacakan oleh Datuk Seri Wira Kesuma, Wan Abu Bakar ketika bercerita mengenai Kesultanan Melayu Siak pada istiadat pengukuhan Lembaga Kesultanan Siak dan pemberian anugerah gelar adat yang diadakan di Gedung Lembaga Adat Kabupaten Siak.
Pantunnya mudah namun terselit mesej yang mahukan anak-anak muda bersama mempertahankan institusi Kesultanan Siak yang tumbuh dan berkembang di Indonesia sejak 1723.
Kerajaan Siak didirikan oleh Raja Kecik, putera kepada Sultan Mahmud Syah II, Sultan Johor ke-10 dari isterinya yang bernama Cik Pung.

Memetik perjalanan Kerajaan Siak seperti tertulis di dalam buku Sejarah Kerajaan Siak terbitan Lembaga Warisan Budaya Melayu Riau, ketika ayahandanya terbunuh, Raja Kecik masih di dalam kandungan ibundanya.
Kisah hidup Raja Kecik, sejak dilahirkan sehingga membesar dan menuntut bela singgahsana ayahandanya, cukup panjang, termasuk mendirikan Kesultanan Siak.
Malah Raja Kecik pernah menjadi Sultan Johor ke-12 dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah.
Perselisihan demi perselisihan berlaku, malah kerajaan Johor seolah-olah ‘beraja dua’ iaitu Raja Kecik dan Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV (sultan yang digulingkan oleh Raja Kecik).

Bukan sedikit perang yang dilalui Raja Kecik, akhirnya baginda berangkat bersama pengikutnya yang setia menuju ke daratan Sumatera.
Rombongan memasuki Sungai Siak dan ketika tiba di Buantan, rombongan Raja Kecik berhenti. Oleh kerana tempat tersebut strategik, lalu disepakati Buantan menjadi pusat pemerintahan dan didirikan istana serta kubu pertahanan.
Raja Kecik ditabalkan menjadi raja di negerinya iaitu Siak dan gelaran baginda sama seperti gelaran semasa menaiki takhta Kerajaan Johor, Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah.

“Anak-anak muda ini perlu diadakan pendidikan yang sesuai dengan budaya Kerajaan Siak. Sudah banyak yang tidak tahu mengenainya. Siak mesti menjadi pelopor utama kebudayaan Melayu dan syariah Islam,” tegas Wan Abu Bakar ketika ditemui selepas istiadat tersebut.
Istiadat itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob.
Mohd. Khalil dikurnia darjah kebesaran Orang Kaya Maharaja Siak manakala tokoh usahawan terkenal, Tan Sri Syed Mohd. Yusof Tun Syed Nasir dikurnia gelaran Timbalan Mangku Bumi Mangku Diraja, Lembaga Kesultanan Siak.

Tengku Muchtar Tengku Anum pula dikurnia gelaran Mangku Bumi Mangku Diraja manakala Tengku Mohammad Toha Tengku Ahmad Dalan (Timbalan Mangku Bumi Mangku Diraja).
Datuk Syed Alwi Tun Syed Nasir yang merupakan peguam terkemuka juga mendapat gelaran Pangeran Seri Kencana Wangsa.
PENEGASAN SYED MOHD. YUSOF
Penegasan Wan Abu Bakar turut disokong Syed Mohd. Yusof atau lebih dikenali sebagai Tan Sri Jojo yang mahukan anak muda terus mempertahankan institusi Kesultanan Siak.
Anak muda Siak, jelas beliau, perlu dibangunkan di bumi sendiri agar tidak ‘merantau’ ke tempat orang sehingga menghakis jati diri mereka.
Syed Mohd. Yusof sudah tidak asing lagi di bumi Siak. Saban tahun beliau akan ‘terbang’ ke Siak yang merupakan tanah kelahiran asal usul keturunannya.
Selain dianggap sebagai ‘pulang ke kampung halaman’, beliau sendiri menyampaikan sumbangan untuk anak-anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan.


‘BERKUBURNYA’ INSTITUSI SULTAN
Dari semasa ke semasa, Raja Siak ini ‘tumbuh dan berkembang’ dengan silih berganti sultan dalam pemerintahan Kerajaan Siak, sehinggalah pada masa Proklamasi Kemerdekaan Indonesia 1945.
Sultan Siak ke-12, Sultan Syarif Kasim Abdul Jalil Syaifuddin mengumumkan Kerajaan Siak bergabung dengan Negara Republik Indonesia.

“Peristiwa ini sangat penting kita ketahui dalam sejarah. Kerajaan Siak ini merupakan kerajaan pertama di Indonesia yang menyatakan bergabung dengan Republik Indonesia,” jelas Wan Abu Bakar.
Setelah terjadi penyerahan takhta kerajaan kepada Republik Indonesia, maka Sultan Syarif Kasim tidak lagi dimasyhurkan sebagai sultan yang berdaulat.
Pernyataan baginda tidak lagi sebagai seorang sultan diumumkan pada 7 Mac 1946. Pada 23 April 1968, baginda mangkat di Pekanbaru dan dimakamkan di Siak.
Terdahulu dalam istiadat berkenaan, Bupati Siak, Drs. H. Alfedri berkata, pihaknya mahu institusi Kesultanan Siak mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menjaga dan memelihara institusi berkenaan.
